YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat tiba di Amman, Jordan untuk lawatan khas selama empat hari bermula semalam.
Menerusi laman Facebook rasmi Istana Negara, pesawat khas membawa Seri Paduka Baginda dan delegasi selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia, Amman pada 4.30 petang waktu tempatan (9.30 malam waktu Malaysia).
“Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut Menteri Pelancongan Jordan Makram Queisi, Datuk Bandar Amman Yousef Shawarbeh dan Duta Malaysia ke Jordan Tuan Yang Terutama Mohamad Nasri Abd Rahman.
“Dalam lawatan khas itu, Seri Paduka Baginda turut diiringi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
“Turut berangkat paduka-paduka anakanda Baginda, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.
“Lawatan khas itu adalah atas persilaan Baginda Raja Jordan Raja Abdullah II dan kedua-dua pemimpin dijadualkan mengadakan pertemuan di Beit Al Urdun pada jam 1.30 petang waktu tempatan, hari ini (31 Mei 2023),”menurut kenyataan itu.
Istana Negara berkata, Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan berangkat menghadiri Majlis Perkahwinan Diraja Yang Amat Mulia Putera Mahkota Jordan di Zahran Palace esok (1 Jun 2023) disusuli dengan keberangkatan ke Majlis Jamuan Sambutan Perkahwinan Diraja di Al Husseinieh Palace di Amman pada sebelah malam.
“Majlis Perkahwinan Diraja Yang Amat Mulia Putera Mahkota Jordan akan turut diserikan dengan kehadiran Kerabat-Kerabat Diraja, para pemimpin dan kenamaan dari seluruh dunia.
“Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 2 Jun 2023,”ujar kenyataan itu. – Edisi 9