UNIT Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) mengumumkan tiga inisiatif yang memfokuskan kepada pendidikan, ekonomi dan kebajikan golongan B40 masyarakat ini negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Mitra, Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, peruntukan bagi ketiga-tiga inisiatif tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM39.4 juta.
Katanya, Mitra menyediakan peruntukkan sebanyak RM20 juta bagi membantu pelajar golongan B40 masyarakat India yang menuntut di universiti Awam dalam inisitif pertamanya.
Mahsiswa dan mahasiswa yang menuntut di tahun kedua, ketiga atau tahun akhir pengajian Ijazah akan menerima bantuan subsidi secara one-off bernilai RM2,000.
“Seramai 10,000 orang pelajar India B40 di universiti awam akan menerima manfaat dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM20 juta.
“Program ini dilaksanakan secara kolaboratif bersama Bank Simpanan Nasional (BSN) dan diharap bantuan ini dapat mengurangkan beban kewangan pelajar dan ibu bapa khususnya dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup.,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Permohonan itu akan dibuka bermula pukul 2 petang, 8 Mei ini sehingga pukul 5 petang 15 September dengan permohonan diproses berdasarkan ‘siapa dulu, dia dapat’.
Sementara itu beliau berkata, bagi inisiatif kedua pula, Mitra menyediakan Program Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta (Tamil) yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM).
Katanya, subsidi benilai RM200 sebulan meliputi yuran tadika dan sarapan pagi untuk 12 bulan.
“Seramai 4,500 kanak-kanak India B40 akan menerima manfaat ini, di mana anggaran perbelanjaan dijangkakan sebanyak RM 10.8 juta. Subsidi pendidikan akan dibayar terus kepada pengusaha-pengusaha tadika.
“Permohonan telah dibuka kepada tadika swasta (Tamil) yang menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa pengajaran utama pada 17 April sehingga 16 Mei ini. Walau bagaimanapun, tarikh permohonan ini akan dilanjutkan sehingga 28 Mei,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ramanan berkata, inisiatif ketiga adalah program subsidi bantuan dialisis untuk masyarakat India kategori B40.
“Program kesihatan tersebut mensasarkan 900 pesakit kronik buah pinggang yang memerlukan bantuan dialisis melibatkan bayaran subsidi RM200 untuk satu sesi dialisis.
“Bantuan subsidi ini adalah untuk bayaran empat kali sebulan selama setahun. Sebanyak RM8.64 juta telah diperuntukkan bagi Program Bantuan Dialisis tersebut.
“Program ini akan dilaksanakan dengan kerjasama pusat-pusat dialisis yang sedia ada. Setakat semalam, sebanyak 1,227 permohonan bernilai RM443 juta telah diterima secara atas talian,” katanya. – Edisi 9

