25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

3 warga asing tanpa permit kendali bot nelayan tempatan ditahan

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot nelayan tempatan kerana menggajikan tiga warga Myanmar secara tidak sah semalam.

Pengarah Zon Maritim, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, bot itu ditahan pada jarak 2.9 batu nautika dari Pulau Tinggi, Mersing, ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat tunda.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati tiga daripada lima kru bot tersebut adalah warga Myanmar tidak memiliki kelulusan bertulis atau permit kerja dari Ketua Pengarah Perikanan.

“Semua kru bot nelayan kelas C tersebut terdiri daripada tiga warga Myanmar dan dua warga tempatan termasuk tekong berumur lingkungan 35 hingga 51 tahun.

Advertisements

“Kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen, menggajikan kru warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, bot serta kru ditahan bersama 600 kilogram (kg) hasil laut dan dibawa ke jeti Maritim Malaysia Teluk Gading sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di zon Maritim Malaysia.

“Sebarang aduan salah laku dan insiden di laut, orang ramai boleh menghubungi MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404 dan Pusat Operasi Zon Maritim Mersing di talian 07-7982529 untuk maklum balas segera,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan