PARAS air di enam empangan di tiga negeri mencatat penurunan simpanan sumber air mentah ketika ini namun masih berada di atas daripada paras kritikal.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berkata, empangan itu melibatkan satu di Perlis, Kedah (3) dan Pulau Pinang (2).
Katanya, antara yang terlibat ialah Empangan Timah Tasoh di Perlis; Empangan Sungai Muda, Empangan Pedu dan Empangan Beris di Kedah; serta Empangan Ayer Itam dan Empangan Telok Bahang di Pulau Pinang.
“Air empangan utama di Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan serta kebanyakan empangan di Johor pula masih berada pada paras maksimum atau melebihi 90 peratus.
“Semua empangan itu akan terus dipantau dengan rapi kerana ia terdedah kepada risiko kemarau,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
El Nino berlaku akibat peningkatan suhu Lautan Pasifik secara mendadak, sekali gus mengakibatkan perubahan kepada sistem iklim terutamanya peningkatan suhu di permukaan dan pengurangan jumlah taburan hujan di negara ini.
SPAN berkata, berdasarkan pengalaman kejadian El Nino antara 2015 hingga 2016, beberapa negeri dikenal pasti lebih mudah dipengaruhi oleh impak fenomena tersebut.
Katanya, antara negeri itu termasuk Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor.
Sementara itu, SPAN berkata, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi, kebarangkalian berlakunya El Nino adalah sekitar 57 peratus pada Jun hingga September ini dan meningkat kepada 62 peratus pada September hingga November ini.
Katanya, SPAN telah mengarahkan semua operator air negeri mengambil langkah-langkah tertentu bagi menangani risiko gangguan bekalan air akibat kemarau.
“Sekiranya perlu, bantuan penghantaran lori tangki berserta tenaga kerja daripada operator-operator air di negeri lain, bagi mengurangkan impak kekurangan bekalan air di suatu negeri,” katanya. – Edisi 9