SEORANG warga asing di Tawau, Sabah, berjaya ditangkap polis susulan dipercayai merogol anak tirinya yang baharu berusia 12 tahun dalam kejadian awal bulan ini.
Suspek berusia 32 tahun itu disyaki melakukan perbuatan terkutuknya itu di sebuah rumah di kawasan kebun kelapa sawit di Merotai.
Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, kejadian itu berlaku ketika mangsa tinggal bersama suspek bermula awal bulan ini.
“Mangsa kemudian telah menghubungi ahli keluarganya bagi membongkar perbuatan keji suspek sebelum tindakan segera diambil.
“Berdasarkan laporan, mangsa yang tinggal bersama suspek sejak 5 Mac lalu meceritakan kejadian rogol itu kepada kakaknya yang menetap di Lahad Datu, menerusi aplikasi WhatsApp.
“Berdasarkan maklumat yang diterima, sepasukan polis daripada Balai Polis Bombalai bergegas ke lokasi untuk menjalankan operasi mengesan dan menahan suspek,” katanya seperti dilaporkan media hari ini.
Ujar Jasmin lagi, suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di negara ini tanpa sebarang dokumen diri yang sah,” katanya.
-EDISI9