MENTERI Sumber Manusia, V Sivakumar tidak perlu berundur atau meletakkan jawatan kerana dakwaan kes membabitkannya masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ini kerana menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, masih terlalu awal untuk membuat telahan kerana Sivakumar hanya dipanggil untuk memberi keterangan kepada SPRM bagi membantu siasatan.
“Masih dalam siasatan, belum ada pertuduhan kalau saya selaku perdana menteri diminta memberi penjelasan tak akan saya nak letak jawatan?
“Jadi kena bezakan. Siasatan itu dalam proses jadi serah (kepada) SPRM. Kalau tiada pendakwaan tiada apa (tetapi) kalau ada pendakwaan itu soal lain.
“Bagi saya, kita tidak boleh membuat telahan awal,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Karya Agung Sayr Al-Salikin (4 Jilid) dan Hikayat Iskandar Zulkarnain di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai Sivakumar yang dipanggil SPRM semalam bagi membantu siasatan berhubung penahanan seorang Pegawai Tugas-Tugas Khas dan Setiausaha Sulitnya, Jumaat lalu.
Sivakumar hari ini, menafikan SPRM menggeledah pejabat dan kediaman beliau semalam.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan pimpinannya tegas dalam membanteras rasuah tidak kira dari blok parti mana.
“Soal tata kelola banteras rasuah kite tegas tak peduli menyinggung siapa, dari sosok mana dan parti mana.
“Itu pendirian kita tetapi kes khusus Sivakumar ini tak wajar kita berikan telahan selain kenyataan beliau dipanggil untuk berikan jawapan kepada apa dibangkitkan SPRM,” katanya.
-EDISI9