SIASATAN polis terhadap seorang remaja berusia 16 tahun yang dilapor hilang di Jasin, Melaka bulan lalu yang akhirnya ditemui di Kampar, Perak membawa kepada penahanan pasangan suami isteri.
Ini berikutan laporan dibuat remaja tersebut bahawa dia menjadi ‘hamba seks’ kepada bapa tirinya sejak tiga tahun lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi, suspek yang merupakan bapa tiri serta ibu kandung mangsa masing-masing berusia 36 dan 40 tahun itu ditangkap kira-kira pukul 9.30 malam kelmarin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2) sejurus tiba dari Sabah.
“Difahamkan perbuatan terkutuk suspek lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu turut diketahui isterinya yang merupakan ibu kandung mangsa.
“Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin ada menerima satu laporan mengenai kejadian rogol ke atas satu remaja perempuan berusia 16 tahun di Jasin, Melaka.
“Bertindak atas maklumat, tangkapan telah dilakukan ke atas bapa tiri dan ibu kandung mangsa di KLIA 2, Sepang, Selangor,” katanya seperti dilaporkan media.
Ujar Ahmad Jamil lagi, remaja perempuan yang masih bersekolah itu dipercayai menjadi mangsa rogol bapa tirinya sejak tahun 2020.
Menurutnya, penahanan reman terhadap kedua-dua suspek sedang berjalan hingga 15 April ini bagi membantu siasatan.
“Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada pagi tadi (semalam) telah membenarkan permohonan reman dua suspek ini selama tujuh hari bermula hari ini hingga Sabtu depan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 375 B Kanun Keseksaan/109 kanun sama,” katanya.
Sebelum ini, ibu remaja terbabit telah membuat laporan polis berhubung kehilangan anak gadisnya itu sejak 17 Mac lalu selepas kali terakhir dilihat berada di rumah.
Malahan wanita tersebut turut membuat rayuan kepada orang ramai melalui media sosial agar membantu mengesan remaja terbabit.
Bagaimanapun, remaja terbabit ditemui dalam keadaan selamat dan tinggal bersama seorang rakan lelaki berusia 20-an di Kampar, Perak pada Khamis lalu.
Soal siasat yang dilakukan terhadap remaja perempuan itu, dia mengaku secara sukarela mengikut rakannya yang berasal dari Kedah dan tinggal bersama sejak dilaporkan hilang pada 18 Mac lalu.
-EDISI9