TINDAKAN UMNO memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan pengampunan penuh terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan tekanan politik.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi sebaliknya menegaskan, langkah yang diambil oleh parti itu adalah solidariti politik dan tidak wujud konflik kepentingan di dalam memorandum tersebut.
Ini kerana, jelas beliau, UMNO menyerahkan keputusan berhubung pengampunan itu kepada budi bicara Seri Paduka Baginda mengikut Perkara 42(1) dan 42(2) Perlembagaan Persekutuan.
“Keputusan akhir adalah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Lembaga Pengampunan.
“Sebenarnya tuduhan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin itulah tekanan politik untuk menghalang pengampunan diraja,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Semalam, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu membidas tindakan UMNO yang memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbang pengampunan penuh kepada Najib yang disifatkan sebagai desakan politik.
“Isu ini (memohon pengampunan) ada proses dan prosedur tertentu. Setahu saya siapa yang boleh memohon, namun dia (UMNO) menggunakan desakan politik,” katanya di Pasir Puteh, Kelantan seperti dilapor media.
Jumaat lalu, MKT UMNO yang bermesyuarat memutuskan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan warkah rayuan beserta memorandum yang ditandatangani seluruh kepimpinan UMNO daripada 191 bahagian termasuk sayap parti itu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, memorandum tersebut memohon agar kepimpinan tertinggi UMNO membela bekas Presiden dan Perdana Menteri itu yang banyak jasanya kepada rakyat dan negara.
Sementara itu, Mohd Puad mengingatkan Muhyiddin tentang ‘pendakwaan politik’ dan ‘pendakwaan terpilih’ yang dilakukan beliau terhadap para pemimpin UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 2018 lalu.
“Muhyiddin lupa dia yang bersekongkol dengan Tun M (Dr Mahathir Mohamad) melakukan ‘pendakwaan politik’ dan ‘pendakwaan terpilih’ terhadap Najib, Zahid (Hamidi, Presiden UMNO) dan pemimpin UMNO lain.
“Mereka melakukan tekanan politik untuk musnahkan UMNO. Ia adalah konspirasi tertinggi melibatkan kontroversi perlantikan Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara,” dakwa beliau.
Atas sebab itulah, kata ADUN Rengit itu, Najib dinafikan hak perbicaraan yang adil seperti yang dirumuskan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawa, Datuk Abdul Rahman Sebli.
Mohd Puad mendakwa, Ahli Parlimen Pagoh itu juga menggunakan tekanan politik untuk menyambung tempoh darurat dan menggantung Parlimen namun gagal dan ditolak.
“Muhyiddin juga beri tekanan politik kononnya dia cukup nombor untuk tubuh kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Dia tolak kerajaan perpaduan. Tetapi Agong lebih bijaksana dan tidak tunduk kepada tekanan politik,” katanya. – Edisi 9