27.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Prosedur OSC 3.0 Plus ditambah baik, lulus 21 hari – PM

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PROSEDUR OSC 3.0 Plus ditambah baik dengan tempoh masa kelulusan akan dikurangkan daripada 42 hari kepada 21 hari.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, malah Kerajaan juga menetapkan hanya lima agensi sahaja yang wajib dirujuk untuk proses kelulusan ketimbang 19 agensi sebelum ini.

Menurutnya, perkara itu antara yang diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-41 yang berlangsung pada semalam.

“Mesyuarat telah mencapai beberapa kata sepakat hasil perbincangan tuntas di antara pihak-pihak berkepentingan termasuk Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri.

“Antara keputusan yang dipersetujui termasuk keperluan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mempercepatkan tempoh kelulusan pembangunan sekaligus memudahkan urusan perniagaan (ease of doing business),” katanya dalam Facebook hari ini.

Jelas Anwar lagi, usaha mempercepatkan tempoh kelulusan pembangunan berkenaan secara tidak langsung diyakini mampu menambah baik persekitaran pelaburan selain meningkatkan daya saing negara.

Selain itu ujar beliau, mesyuarat turut membincangkan cadangan pengukuhan sektor pertanian terutama keperluan menetapkan keluasan guna tanah bagi tujuan pengeluaran pertanian dan sumber makanan negara.

“Dalam hal ini, penekanan harus diberikan kepada peningkatan produktiviti pertanian.

“MPFN juga berpandangan aspek kawal selia pengurusan dan pembangunan ladang penternakan perlu terus diperkasakan menerusi pemakaian Garis Panduan Perancangan Ladang Penternakan Ayam,” katanya.

Dalam perkembangan senario banjir pula, Pemakaian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) dalam Pembangunan Tanah perlu diaplikasikan sebagai salah satu solusi dalam menangani isu banjir kilat.

“MPFN akan terus memastikan perancangan pembangunan bandar bergerak kepada Perbandaran Madani untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan mewujudkan persekitaran yang berdaya huni.

Malah, Anwar memberikan jaminan kerajaan kekal komited meneruskan kerjasama dan penyelarasan pembangunan di antara Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri demi mencapai agenda membangun negara Madani.

-EDISI9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan