30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Profesor wanita Melayu pertama meninggal dunia

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PROFESOR wanita Melayu pertama yang juga mantan Dekan Universiti Malaya (UM), Puan Sri Prof Dr Fatimah Hamid Don dilaporkan meninggal dunia di Hospital Tawakal di Kuala Lumpur, awal pagi ini.

Balu kepada Allahyarham Tan Sri Ishak Pateh, berusia 89 tahun itu, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.35 pagi.

Jenazah dijangka dibawa ke Masjid Tun Abdul Aziz, Seksyen 14, Petaling Jaya, pada 10 pagi ini.

Jenazah akan dimandikan dan dikafankan di masjid berkenaan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Taman Medan, Petaling Jaya, untuk dikebumikan selepas solat Zuhur.

Allahyarhamah yang berasal dari Batu Gajah, Perak, memperoleh Ijazah Kedoktoran (Pengajaran dan Kurikulum) dari Universiti California, Amerika Syarikat pada 1971.

Pada awalnya beliau menjadi guru sementara di beberapa sekolah rendah dan menengah (1952-1954) dan berkhidmat sebagai pegawai di Kementerian Pelajaran (1956).

Pada tahun yang sama, beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Geografi (1956) dari Universiti Malaya (UM), Singapura.

Beliau kemudiannya berangkat ke London dan memperoleh diploma Fonetik dan Linguistik serta sijil Fonetik Inggeris dari African Studies, University of London (1958).

Sekembalinya ke Kuala Lumpur, beliau berkhidmat sebagai guru bahasa (fonetik) dan penterjemah di Pusat Latihan Harian (1958).

Beliau kemudiannya dilantik menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Bahasa (1959-1964).

Minat yang mendalam terhadap bidang pendidikan telah mendorong beliau mendapatkan Diploma Pendidikan di UM, Kuala Lumpur (1964).

Beliau seterusnya ke Los Angeles untuk mendapatkan ijazah Sarjana (Geografi) di University Southern California (1968) dan ijazah kedoktoran (Pengajaran dan Kurikulum) pada 1971.

Beliau memulakan kerjaya sebagai pensyarah di Fakulti Pendidikan, UM, dan dinaikkan pangkat kepada Prof Madya pada 1974 serta dilantik menjadi Dekan (1975) sebelum bersara sebagai Profesor pada 1990.

Beliau pernah dilantik sebagai Profesor Perkembangan Kurikulum merangkap Pakar Runding Kurikulum, Kementerian Pendidikan.

Sumbangan beliau sangat besar terhadap bidang pendidikan di Malaysia apabila aktif dalam membangunkan dasar dan menaik taraf kehidupan golongan wanita.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pakar dan menjadi ahli jawatankuasa dalam pelbagai organisasi serta pertubuhan selain dilantik sebagai penasihat bagi beberapa organisasi pendidikan.

Fatimah dianugerahkan pelbagai pingat dan darjah kebesaran, antaranya Darjah Setia Diraja Kedah; Pingat Emas Tun Fatimah daripada Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia dengan gelaran Srikandi; Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada Universiti Perguruan Sultan Idris dan Profesor Emeritus oleh UM.

Di peringkat antarabangsa pula, beliau diberi pengiktirafan Pi Lambda Theta (daripada Alpha Delta, University of California, Los Angeles, 1971), Citizen of the Age of Enlightenment Award (World government of the Age of Enlightenment-Maharishi European Research University, 1976), Honorary Fellowship of the International Understanding Honor Society, Ohio University, Athens (1985) dan menjadi ahli seumur hidup International Council on Education for Teaching, Washington DC, Amerika Syarikat.

-EDISI9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan