KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah dijenamakan semula dan kini dikenali sebagai Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dengan mengekalkan akronim yang sama iaitu “MITI”.
MITI dalam kenyataan berkata, penjenamaan semula itu adalah seiring dengan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam Mesyuarat Kabinet bertarikh 5 April 2023.
“Penjenamaan ini bertepatan dengan fungsi kementerian yang menjadi peneraju dan bertanggungjawab untuk menggalakkan kemasukan pelaburan asing.
“Di samping itu, memperkasakan pelaburan tempatan, memantapkan perdagangan
antarabangsa dan memperkasakan pembangunan industri yang lestari dan mampan,”katanya.
Ujar MITI, keputusan ini juga adalah selaras dengan aspirasi kerajaan untuk merancakkan lagi aktiviti penggalakan pelaburan seperti yang digariskan di bawah Aspirasi Pelaburan Nasional bagi kesinambungan pembangunan semula ekonomi negara seperti yang digariskan di dalam wadah Kerajaan Madani.
“Dengan penjenamaan ini, MITI terus komited untuk menarik pelaburan baharu berkualiti dan berimpak tinggi.
“Selain itu, akan memperluaskan jaringan perdagangan antarabangsa serta memperkukuhkan sektor industri sedia ada sebagai penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi,”katanya. – Edisi 9