MALAYSIA mengutuk sekeras-kerasnya keganasan terhadap rakyat Palestin dan pencerobohan ke atas Masjid Al-Aqsa oleh tentera Israel semalam.
Wisma Putra berkata, tindakan tentera Israel itu jelas menyalahi undang-undang, menghina dan mencabuli hak asasi manusia dan mencemarkan kesucian tempat ketiga tersuci umat Islam berkenaan.
“Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bagi menggesa rejim Israel bertanggungjawab atas jenayah keji itu dan membebaskan semua tahanan Palestin dengan segera.
“Masyarakat antarabangsa perlu menuntut rejim Israel untuk menghentikan serta-merta sebarang tindakan provokasi demi kepentingan keamanan dan kestabilan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin cedera sementara beratus yang lain ditahan oleh tentera Israel dalam pencerobohan Masjid al-Aqsa semalam
Sementara itu Wisma Putra berkata, Malaysia berdiri teguh menerusi solidariti terhadap rakyat Palestin dan mengulangi bahawa status Al-Quds Al-Sharif sebagai tapak suci umat Islam.
“Malaysia kekal dengan pendirian bahawa rakyat Palestin berhak mendapat kemerdekaan berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya,” katanya – Edisi 9

