NAIB Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa akan meneruskan tindakan saman terhadap Pas berhubung dakwaan bahawa beliau menyokong budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Mujahid menyifatkan parti itu tidak serik dalam melakukan tuduhan melulu terhadapnya bagi memenuhi kepentingan politik.
“Tuduh kita sokong LGBT, kita saman, dia minta batal, dulu kes dakwa jual hotel TH, dia saman kita, apabila masuk mahkamah, terbukti ia fitnah.
“Begitulah Melayu Islam, menipu pengundi atas nama nak bela Melayu Islam. Kita jawab di mahkamah ya,” katanya dalam satu ciapan Twitter pada Khamis.
Terdahulu, Mujahid memfailkan saman tersebut terhadap Pas berhubung satu hantaran Facebook mendakwa bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu menyokong golongan tersebut.
Pas dinamakan sebagai defendan dan disaman melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. – Edisi 9