26 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

Korea Utara lancar peluru berpandu, Jepun keluar amaran

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KOREA Utara dilaporkan telah melancarkan peluru berpandu balistik kira-kira pukul 7.23 pagi waktu tempatan dari kawasan berhampiran Pyongyang, hari ini.

Memetik laporan AFP, pelancaran itu mendorong Jepun mengeluarkan amaran kepada penduduk wilayah utara Hokkaido supaya mereka berlindung. 

“Korea Utara melepaskan peluru berpandu balistik ke Laut Timur,” kata Ketua Turus Bersama Seoul, merujuk kepada Laut Jepun.

Bagaimanapun, maklumat lanjut berkaitan insiden itu tidak dimaklumkan.

Jepun turut mengesahkan pelancaran itu, dan memberitahu penduduk Hokkaido supaya “berpindah segera” dan mencari perlindungan di dalam bangunan atau bawah tanah.

Negara itu turut memberi amaran peluru berpandu itu dijangka mendarat sekitar jam 8 pagi waktu tempatan. 

Pegawai kerajaan tempatan di Hokkaido kemudian berkata, tiada kemungkinan peluru berpandu itu mengenai pulau tersebut. 

Pyongyang telah melancarkan ujian senjata sejak awal tahun ini, termasuk apa yang didakwa media negaranya sebagai dron dasar laut berkuasa nuklear dan pelancaran dua peluru berpandu balistik antara benua.

Advertisements

Korea Utara mendakwa telah menjalankan tiga ujian dron dasar laut yang dikenali sebagai Haeil, yang bermaksud tsunami dalam bahasa Korea, dalam tempoh kurang tiga minggu setakat ini. 

Korea Selatan dan Jepun menganggap serangan peluru berpandu ini sebagai satu tindakan provokatif yang mencabar ketenteraman di rantau itu.

Tentera Korea Selatan mengesahkan bahawa mereka sedang berada dalam keadaan bersiap sedia dan berkoordinasi rapat dengan sekutunya, Amerika Syarikat (AS), untuk sebarang kemungkinan.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, baru-baru ini menyeru untuk memperkukuhkan daya perang negaranya dengan cara yang lebih praktikal dan agresif.

Ia merupakan tindakan balas oleh negara itu yang menentang gerakan agresif oleh Amerika Syarikat yang menjalankan siri latihan ketenteraan bersama Korea Selatan beberapa bulan kebelakangan ini.

Selain itu, Kerajaan Jepun dilaporkan akan terus memantau situasi itu dengan teliti dan mengambil langkah-langkah yang diperlukan bagi memastikan keselamatan dan keamanan rakyat Jepun.

Tindakan Korea Utara yang semakin agresif dan provokatif ini menunjukkan bahawa konflik di rantau tersebut masih belum selesai dan boleh mencetuskan ancaman pada masa hadapan.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Kerajaan Pusat lulus peruntukan RM1.59 bilion untuk Terengganu

KERAJAAN Persekutuan meluluskan peruntukan RM1.59 bilion di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi manfaat rakyat...

Lagi Artikel Berkaitan