32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

KKDW tambah baik DPLB agar lebih dinamik

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) senantiasa menambah baik Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) agar lebih dinamik menepati aspirasi warga masyarakat luar bandar.

Timbalan Menterinya, Rubiah Wang berkata, penambahbaikan dasar itu khususnya merangkumi segala aspek, aspirasi dan strategi bagi pembangunan desa secara mampan.

“Sama ada bidang infrastruktur, ekonomi, keusahawanan, alam sekitar, tadbir urus dan pembangunan modal insan penduduk luar bandar.

“Ini dapat dilihat menerusi kejayaan KKDW menyantuni aspirasi Malaysia Madani antaranya jalan luar bandar dan jalan desa dibina dengan manfaat kepada lebih 3.7 juta penduduk luar bandar.

“Warga desa dibekalkan dengan air bersih dan terawat. Lebih 1.8 juta penduduk luar bandar mendapat manfaat liputan bekalan air menjadikan liputan keseluruhan air luar bandar melebihi 90 peratus,” katanya pada Majlis Santunan Kasih Ramadan Peringkat Negeri Sarawak hari ini.

Selain itu, katanya, dari segi bekalan elektrik luar bandar telah dibekalkan dengan elektrik 24 jam dengan penduduk luar bandar mendapat manfaat liputan melebihi 85 peratus.

Rubiah Wang menyampaikan bantuan khas kewangan Aidilfitri kepada warga Felcra kertika majlis Santunan Kasih Ramadan KKDW Peringkat Negeri Sarawak.

“Ini menjadikan liputan keseluruhan elektrik 24 jam di seluruh negara melebihi 99 peratus.

“Begitu juga pencapaian dari segi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di mana rumah dibina untuk golongan miskin dan miskin tegar di luar bandar dengan manfaat kepada penduduk sekitar,” katanya.

Rubiah berkata, kementerian juga turut memperkasa komuniti melalui Program Keusahawanan Luar Bandar yang senantiasa ditambah baik menjadi program mesra niaga.

“Menerusi usaha ini, kita telah melahirkan ramai usahawan belia yang berjaya dan berpendapatan yang agak lumayan hasil Program Digitalisasi Luar Bandar dan Program T-VET (Program Kemahiran) melibatkan institusi kemahiran di bawah KKDW seperti MARA, KEMAS, dan lain-lain institusi,” katanya.

Ujar beliau, KKDW senantiasa komited bersama Kerajaan Perpaduan dalam meneruskan dan merealisasikan agenda serta program teras di bawah kementerian ini.

“Ia bagi memastikan masyarakat desa terus menerima manfaat yang disediakan dalam usaha mengubah taraf sosio-ekonomi warga masyarakat di luar bandar seterusnya menyumbang kepada kemajuan negara,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada anak-anak tahfiz dan anak-anak yatim dari Felcra.

Beliau juga menyempurnakan sumbangan Al-Quran dari MARA dan Rural Capital Berhad (Anak Syarikat Mara) serta Penyampaian Bantuan Quick Win dari KEMAS. – Edisi 9

Terkini

PRK Kuala Kubu Baharu: Calon PH/BN wakili kerajaan perpaduan

CALON Pakatan Harapan/Barisan Nasional (PH/BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu akan mewakili...

Lagi Artikel Berkaitan