26.1 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Kelantan, Terengganu catat gelombang haba tahap satu

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BEBERAPA kawasan di Kelantan dan Terengganu dilaporkan merekodkan gelombang haba pada tahap satu iaitu tahap berjaga-jaga.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, di Kelantan, senario itu dikesan berlaku di Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas dan Kuala Krai.

Manakala, di Terengganu status cuaca panas itu turut membabitkan sekitar kawasan Kuala Terengganu.

“Status cuaca panas itu pada tahap satu iaitu tahap berjaga-jaga di mana suhu boleh mencecah 35 darjah Celcius sehingga 37 darjah Celcius,” kata jurucakap jabatan itu dalam video laporan cuaca untuk pagi ini.

Menurutnya, negara menerima pengaruh angin daripada pelbagai hala dengan kelajuan yang direkodkan sekitar 10 hingga 20 kilometer sejam.

Justeru, MetMalaysia masih tidak mengeluarkan sebarang amaran angin kencang dan laut bergelora buat masa ini.

“Bagi tinjauan cuaca semasa, keadaan cuaca agak cerah dan baik di hampir keseluruhan negeri di Semenanjung Malaysia buat masa ini.

Advertisements

“Bagaimanapun keadaan hujan masih berbaki di Kemaman, Terengganu dan Pontian, Kulai dan Johor Bharu di Johor. Kita menjangkakan keadaan itu masih lagi boleh berlarutan sehingga lewat pagi nanti,” katanya.

Sementara itu, bagi ramalan cuaca di bahagian Malaysia Timur pula menunjukkan keadaan cuaca cerah di hampir keseluruhan bahagian yang mana cuaca baik itu dijangka boleh berlarutan hingga ke lewat pagi nanti.

“Ramalan cuaca di sebelah petang, MetMalaysia masih lagi menjangkakan keadaan cuaca hujan di pedalaman Semenanjung Malaysia dan menjelang petang lebih tertumpu di bahagian Pantai Timur di sekitar Kelantan, Terengganu dan Pahang selain sedikit di Johor Timur.

“Namun menjelang ke awal malam keadaan hujan lebih tertumpu di sekitar Pantai Barat iaitu meliputi negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan juga Johor Barat,” katanya.

MetMalaysia berkata, bagi Sabah dan Sarawak didapati keadaan hujan masih lagi berpotensi untuk berlaku di sebelah petang membabitkan kawasan pedalaman dua negeri berkenaan.

“Justeru itu, orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati berikutan aktiviti hujan dan ribut petir ini boleh membawa kepada keadaan angin yang sangat kencang, banjir kilat serta kerosakan kepada struktur bangunan yang tidak kukuh,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan