30.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

Wisma Putra nafi kakitangannya ditahan SPRM

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Luar menafikan dua pegawai di Bangladesh yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan petugas Wisma Putra.

Wisma Putra dalam satu kenyataan menjelaskan, individu yang direman pada Selasa lalu merupakan pegawai penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia.

“Kedua-duanya itu pula hanya ditempatkan sementara untuk bertugas di Pejabat Atase Imigresen di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di ibu kota Dhaka,” katanya, malam tadi.

Wisma Putra berkata demikian bagi merujuk laporan agensi media tempatan mengenai tindakan SPRM tersebut.

Ia memetik sumber agensi berkenaan, namun merujuk lokasi canseri sebagai Kedutaan Malaysia di Bangladesh walhal negara tersebut merupakan ahli Pertubuhan Komanwel.

Kekeliruan laporan media terbabit mencetuskan tanda tanya dalam kalangan warganet kerana Malaysia hanya ada Suruhanjaya Tinggi di Dhaka sebagai misi diplomatiknya, malahan urusan pengeluaran visa di pejabat perwakilan rasmi Malaysia tidak pernah pun dikeluarkan oleh Kementerian Luar tetapi dilakukan pihak imigresen sendiri.

Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, pihaknya sentiasa memberi perhatian kepada aspek integriti dalam kalangan kakitangan awam kementerian itu bertugas di luar negara.

Advertisements

“Dalam konteks ini, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka dan Wisma Putra memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam isu penyiasatan kes berkenaan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan dua suspek itu ditahan kerana disyaki menerima wang rasuah bagi proses pengeluaran visa luar negara serta kemasukan para pelancong dan pekerja Bangladesh ke Malaysia.

SPRM berjaya mengesan transaksi masuk melibatkan lebih 20 akaun bank individu dan syarikat yang amat mencurigakan dimiliki oleh kedua-dua pegawai imigresen berkenaan.

Sehubungan itu, mereka berdua diarahkan pulang ke negara ini dan ditahan ketika hadir memberi keterangan untuk membantu penyiasatan di ibu pejabat SPRM, Selasa lalu.

Setakat semalam, agensi tersebut mengambil tindakan pembekuan akaun dan penyitaan harta yang turut membabitkan lapan bidang tanah dianggarkan berjumlah RM3.1 juta.

Kes berkenaan telah pun disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. 

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Raja Permaisuri santuni keluarga mangsa nahas helikopter

RAJA Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat melawat keluarga Pegawai Taktikal Udara Skuadron 503, Allahyarham Lefternan Komander Mohammad...

Lagi Artikel Berkaitan