PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo menzahirkan rasa sedih atas keputusan Federasi Sepak Bola Antarabangsa (FIFA) membatalkan penganjuran Piala Dunia Bawah 20 tahun 2023 di Indonesia.
Kata Jokowi, keputusan itu turut mengecewakan seluruh rakyatnya namun memohon segera melupakannya dan tidak saling menunding jari menyalahkan sesiapa.
“Kita harus menghormati dan menerima keputusan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir juga digesa mengelakkan negaranya dikenakan tindakan tatatertib dan mencuba untuk menjadi hos bagi kejohanan FIFA yang lain.
Sebelum ini, FIFA pada Rabu telah menarik balik hak menganjur Piala Dunia Bawah 20 tahun daripada Indonesia susulan bantahan beberapa ahli politik negara itu penyertaan pasukan Israel di dalam kejohanan.
Pembatalan dibuat setelah Gabenor Bali iaitu Wayan Koster telah menghantar surat mengemukakan bantahan terhadap kemasukan Israel untuk menyertai kejohanan kepada Menteri Belia dan Sukan negara itu, Zainudin Amali.
Indonesia bertindak membatalkan undian rasmi yang dijadualkan berlangsung di Bali pada 31 Mac lalu.
Keputusan pembatalan hasil perjumpaan antara Presiden FIFA, Gianni Infantino dan Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir melalui penelitian beberapa faktor.
Menurut FIFA, tindakan tatatertib terhadap PSSI mungkin diputuskan tidak lama lagi.
Kejohanan Piala Dunia B-20 dijadualkan bermula dari 20 Mei hingga 11 Jun membabitkan 24 negara.
Indonesia yang dipilih sebagai tuan rumah dalam kejohanan dijadualkan semua perlawanan membabitkan di enam lokasi iaitu Bali, Bandung, Jakarta, Palembang, Solo dan Surabaya. – Edisi 9