POLIS menahan seorang lelaki berusia 35 tahun susulan memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap Sultan Johor menerusi akaun Facebook ‘Indera Mulia’.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, suspek ditahan semalam di sebuah rumah di Puchong, Selangor.
Menurut beliau, polis merampas satu telefon pintar berjenama Samsung dan sekeping kad SIM Redone.
“Suspek dipercayai memuat naik hantaran berunsur penghinaan di akaun miliknya pada 20 April lalu,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Ujar Noorsiah lagi, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana raja atau kerajaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi. Orang ramai dinasihatkan tidak menyalahgunakan media sosial ” katanya.
-EDISI9