24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Bekas MB Perlis mengaku tidak bersalah buat tuntutan palsu

Mesti Baca

BEKAS Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kangar hari ini atas lima pertuduhan membuat tuntutan palsu bagi kemudahan Cuti Seberang Laut di London dari 2013 hingga 2017 dengan nilai keseluruhan RM1.2 juta.

Azlan, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik kesemua pertuduhan tersebut dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Dia didakwa menggunakan dokumen mengandungi pernyataan palsu berkaitan kos bagi tiket penerbangan, hotel penginapan dan pengangkutan di London.

Dokumen tersebut didakwa digunakan bagi tuntutan kemudahan Cuti Seberang Laut yang diberikan kepada Menteri Besar Perlis, sedangkan tiada perjalanan yang dilakukan tertuduh.

Jumlah tuntutan dalam tempoh lima tahun mulai 2013 itu adalah RM230,230, RM216,260, RM241,295.40, RM253,195.40 dan RM244,079.30 bagi setiap perjalanan.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan tertuduh di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri di sini antara 2013 hingga 2017.

Pendakwaan terhadapnya dilakukan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Advertisements

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu jika berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Terdahulu, beliau tiba di Kompleks Mahkamah Kangar pagi ini bagi menghadapi pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Beliau yang berpakaian kemeja biru cerah serta berseluar slack biru gelap tiba bersendirian kira-kira 8.15 pagi dan terus masuk ke Mahkamah Sesyen 1.

Turut hadir bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kayang, Hamizan Hassan dan bekas Setiausaha Akhbar Menteri Besar Perlis, Saiful Daniel Mohd Yusof yang juga bekas calon BN bagi DUN Sena pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Azlan diwakili peguam Burhanudeen Abdul Wahid manakala pendakwaan akan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib.

Azlan, 64, menjadi ADUN Pauh pada 2013 hingga 2018, sebelum memenangi kerusi DUN Bintong dari 2018 hingga tahun lepas, sebelum tewas pada PRU15.

Azlan yang merupakan Menteri Besar Perlis dari 2013 ke 2022 juga gagal mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kangar pada pemilihan parti itu, baru-baru ini. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan