Friday, July 24, 2026

3 penunggang maut nahas 5 kenderaan termasuk lori

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

TIGA penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk lori berhampiran stesen minyak di Tanjung Musang, Alor Setar, Kedah, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, tiga mangsa yang maut adalah lelaki, berusia antara 19 hingga 23 tahun manakala remaja lelaki yang cedera berusia 14 tahun.

Menurutnya, kesemua motosikal jenis Sym VF31, Honda RS-Y, Yamaha Y15ZR dan Honda RS-X serta lori terbabit dipercayai dari arah Alor Setar menghala ke Jabi.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori jenis Nissan yang dipandu lelaki berusia 56 tahun yang baru selesai mengisi minyak dipercayai hendak masuk ke laluan utama iaitu pada jarak kira-kira 40 meter dari simpang keluar stesen minyak terbabit.

“Namun ketika sedang bergerak terus di lorong kiri, tiba-tiba empat motosikal terbabit dipercayai melanggar tepat di bahagian belakang lori terbabit

“Akibat pelanggaran itu, tiga penunggang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Ahmad Shukri lagi, remaja yang menunggang sebuah lagi motosikal mengalami kecederaan di bahagian muka dan tangan dan dihantar serta dirawat di Zon Kuning Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk pemeriksaan lanjut.

Menurutnya, pemandu lori terbabit pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Ketiga-tiga mayat berkenaan dihantar ke Jabatan Forensik HSB untuk tujuan bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan