30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

2 warga Indonesia larikan diri sebelum sampai penjara

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

DUA suspek lelaki warganegara Indonesia melarikan diri semasa dalam perjalanan dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang di Jalan Felda Inas menghala ke Sengkang, Johor, pagi semalam.

Dua suspek ialah Riki Rinaldi dan Samirudin, masing-masing berusia 40 dan 36 tahun.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow, dua lelaki tersebut sepatutnya menjalani hukuman penjara selama enam bulan di Penjara Ledang.

“Kira-kira pukul 8 pagi tadi, kedua-dua suspek bersama dua lagi suspek warganegara Indonesia yang lain telah dibawa ke Mahkamah Kota Tinggi bagi pertuduhan di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua suspek ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kerana dipercayai tidak mempunyai pas atau dokumen yang sah memasuki negara ini.

“Pada pukul 11.20 pagi, seramai tiga anggota Maritim Malaysia telah ditugaskan membawa empat suspek warganegara Indonesia dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang setelah selesai pertuduhan. 

“Semasa dalam perjalanan, dua suspek telah berjaya membuka gari berantai dan membuka pintu belakang van kemudian melarikan diri ke dalam kebun kelapa sawit terbiar berhampiran di Jalan Felda Inas menghala ke Sengkang,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Beng Yeow berkata, Op Tutup telah dijalankan dan pasukan anggota risikan dan operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai telah dimaklumkan berkenaan kejadian ini bagi mengesan serta menangkap kedua-dua suspek yang turut dibantu Unit Pengesan Anjing K9 dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Sehubungan itu, pihak polis daerah Kulai meminta kerjasama orang awam sekiranya mempunyai maklumat berkenaan suspek supaya menghubungi Bilik Gerakan Daerah Kulai menerusi talian 07-6637222.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan