SERAMAI 11 penumpang termasuk tiga kanak-kanak berdepan detik cemas selepas bot dinaiki mereka karam sebelum hanyut ke perairan Filipina, sejak tiga hari lalu.
Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkata, pihaknya menerima maklumat sebuah Kapal Dagang Tomini Dynasty menjumpai 11 warga Malaysia di perairan Sibutu, Filipina semalam.
“Berdasarkan maklumat yang diterima, bot yang dinaiki 11 mangsa telah terbalik akibat cuaca buruk.
“Seterusnya, Kapal Diraja Paus (KD Paus) diatur gerak untuk melaksanakan pertemuan bersama kapal dagang berkenaan di perairan Tanjung Labian bagi mengambil semua mangsa yang terlibat.
“Semua mangsa kemudiannya berjaya diambil lalu dibawa ke Pulau Tambisan dan diserahkan kepada Pasukan Polis Marin Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut seorang mangsa, Siti Naun Osman, 25, dua bersama 10 lagi penumpang iaitu lima wanita, dua lelaki dan tiga kanak-kanak dalam pelayaran dari Tawau menuju ke Semporna pada malam 29 Mac lalu.
Bagaimanapun, bot yang dinaiki mereka telah terbalik dipukul ombak yang kuat.
“Mangsa terpaksa bertahan selama tiga hari dengan hanya duduk di atas bot yang terbalik bagi menyelamatkan diri mereka sebelum ditemui kapal dagang terbabit,” katanya.
Justeru itu, pihak Mawilla 2 TLDM mengingatkan kepada orang ramai agar sentiasa peka dengan cuaca sebelum keluar ke laut bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini berlaku.

