24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Virtual Internship dedah pengalaman global – MQA

Selain jimat dari aspek kos, pelajar berpeluang mendapat pengalaman berharga apabila diberi peluang berurusan dengan wakil industri di peringkat global.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

JIKA sebelum ini hanya perbincangan, mesyuarat, seminar atau bengkel boleh dilakukan secara maya atau dalam talian, kini latihan industri juga boleh dijalankan pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) menerusi ruang siber.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, peluang keemasan yang ditawarkan syarikat yang berpangkalan di United Kingdom, Virtual Internships itu perlu direbut oleh pelajar tempatan untuk meraih pengalaman luas.

Katanya, selain jimat dari aspek kos, pelajar berpeluang mendapat pengalaman sangat berharga dan jarang diperoleh apabila diberi peluang berurusan dengan wakil industri di peringkat global.

“Diharap dengan adanya latihan atau pendedahan ini, pelajar akan mampu meningkatkan kebolehpasaran mereka di persada nasional dan antarabangsa.

“Sebelum mengikuti latihan industi, Virtual Internships akan memadankan minat dan bidang pembelajaran pelajar dengan syarikat, organisasi atau agensi di peringkat antarabangsa,” katanya pada pertemuan dengan Presiden dan Pengasas Bersama Virtual Internships, Ed Holroyd Pearce, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Bahagian, Bahagian Hubungan Dasar Antarabangsa, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datin Noorazah Omar; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof. Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari; Pengarah Bahagian Education Malaysia (BEM), Prof. Madya Dr. Mohd Azmir Mohd Nizah dan Pengurus Strategi Korporat EMGS, Mohd Khairul Zaimy Abd Ghani.

Sejak tahun lalu, Virtual Internships sudah mengadakan komunikasi awal dengan universiti awam (UA) dan lima institusi telah menyatakan komitmen untuk menghantar pelajar mengikuti program ini iaitu masing-masing Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Virtual Internships merupakan satu-satunya organisasi di dunia yang menyediakan peluang latihan industri luar negara secara dalam talian (virtual) dan inisiatif itu mendapat sambutan terutamanya ketika pandemik COVID-19 melanda dunia.

Bagi Mohd Azmir, Virtual Internships merupakan satu inisiatif reformis yang pastinya membantu mengantarabangsakan pelajar tempatan dengan pengalaman latihan industri dengan syarikat luar Malaysia.

Advertisements

Beliau berkata, program itu boleh memberikan nilai tambah kepada peningkatan kemahiran insaniah pelajar disamping memenuhi kehendak kurikulum akademik pelajar.

Namun begitu, katanya, terdapat beberapa aspek fundamental yang perlu diperhalusi termasuk pemantauan, penilaian dan keberkesanannya.

“Diharap juga syarikat dari Malaysia juga boleh menjadi hos kepada calon latihan industri luar negara untuk menjalankan amali mereka kerana pasti akan membantu keterlihatan negara sebagai destinasi pengajian tinggi yang menarik dan kompeten,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khairul Zaimy berkata, inisiatif itu apabila dilaksanakan akan mampu menyelesaikan masalah latihan industri bagi pelajar antarabangsa dan tempatan.

Katanya, pelajar antarabangsa yang mempunyai tempat terhad untuk menjalani latihan industri di dalam negara mempunyai peluang untuk menjalankannya di luar negara.

“Bagaimanapun, dalam konteks Malaysia, inisiatif ini perlulah dikaji secara mendalam supaya pelajar tempatan dan antarabangsa dapat diimbangi kemasukannya,”katanya.

Bagi pandangan Noorazah pula beliau berkata, pelajar yang mengikuti program latihan industri dengan Virtual Internships boleh meraih pengalaman berharga dengan syarikat antarabangsa dari seluruh pelosok dunia.

“Lebih berharga apabila penilaian daripada program ini akan memberi nilai tambah kepada pelajar apabila memasuki alam pekerjaan nanti,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan