INDUSTRI logistik semakin berkembang di negara ini, selari dengan perkembangan industri e-dagang.
Walaupun industri tersebut didominasi kaum lelaki, namun peranan wanita kini semakin penting dalam membentuk dan memajukan bidang berkenaan.
Kini, wanita telah mengatasi pelbagai halangan dan mengambil peranan kepimpinan dalam syarikat logistik seperti menyelaraskan penghantaran dan menguruskan gudang, rantaian bekalan langsung, pengurusan pelanggan, jaminan kualiti dan penghantaran terakhir.
Ketua Pemulihan Ninja Van Malaysia, Norasfawilah Abdullah berkata, kebangkitan e-dagang telah menjadikan industri logistik lebih berdaya saing.
“Peranan saya adalah untuk meningkatkan kecemerlangan operasi syarikat kami dan mengutamakan sokongan pengirim dan pembeli, memastikan pengekalan pelanggan dan kesetiaan jenama yang lebih tinggi.

“Kami komited untuk terus menyampaikan kegembiraan dan kepantasan kepada pengirim dan pembeli,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Wanita Sedunia yang diraikan setiap 8 Mac.
Menyentuh tentang ketidaksamaan jantina di tempat kerja, Norasfawilah berkata, ketika mula-mula menyertai syarikat itu, beliau harus mengatasi prasangka awam kerana kekurangan latar belakang logistik dan pengalaman.
Bagaimanapun katanya, kini beliau sudah mengetuai tim lelaki dan wanita berdedikasi yang mempercayai kepimpinannya.
“Mengemudi syarikat menuju kejayaan adalah tidak relevan dengan jantina. Memanfaatkan potensi anda dan berusaha untuk melakukan yang terbaik adalah lebih penting. Ninja Van Malaysia ialah sebuah tempat kerja di mana individu berkembang maju dan pencapaian mereka diraikan,” katanya.
Ketua Jaminan Kualiti, Kesihatan, Keselamatan dan Persekitaran (QAHSE) Ninja Van Malaysia, Fairulhidayah Jaffar pula berkata, tugas beliau adalah menyelia kualiti perkhidmatan syarikat, keselamatan tempat kerja dan prestasi alam sekitar.
Beliau berkata, sepanjangnya bekerja di Ninja Van Malaysia, beliau telah belajar bahawa memacu syarikat untuk mencapai kejayaan tidak bergantung pada jantina, terutamanya apabila ia berkaitan dengan penjagaan pekerja.

“Apa yang saya percaya adalah untuk menggabungkan pengetahuan dan pengalaman kami untuk mengatasi sebarang cabaran. Untuk mendapatkan keyakinan di kalangan pasukan dan pekerja, saya harus menyesuaikan diri dengan keperluan tenaga kerja kami yang semakin berkembang,” katanya.
Sementara itu, Ninja Van Malaysia berkata, pihakya menekankan kepentingan memupuk tenaga kerja yang pelbagai dan inklusif di mana wanita boleh berkembang maju dalam kerjaya mereka.
Sehingga 2023, wanita membentuk lebih daripada 28 peratus tenaga kerja di syarikat tersebut, meningkat 13 peratus daripada tahun sebelumnya.
Dalam tempoh 12 bulan, syarikat itu telah memberi perkhidmatan kepada lebih 15 juta penerima bungkusan dan komited untuk terus mengguna pakai teknologi terkini untuk menampung pertumbuhan struktur e-dagang.
Ini telah mendorong industri logistik termasuk di Ninja Van Malaysia untuk mengutamakan pengambilan berasaskan kemahiran, strategi, tanpa mengira jantina.
Katanya, inovasi teknologi telah menyumbang dalam memperkenalkan peranan baharu dan peluang pekerjaan yang lebih luas untuk dimanfaatkan oleh semua.
“Sebagai contoh, automasi hab dan operasi Ninja Van Malaysia baru-baru ini telah membantu mengurangkan kekangan fizikal untuk melaksanakan tugas sedemikian sebelum ini, yang kini membuka peranan ini kepada kumpulan pekerja yang lebih luas, terutamanya kepada para wanita,” katanya.
Tambah syarikat itu, faedah sama rata, latihan dan peluang peningkatan kemahiran harus digalakkan di semua jabatan untuk memupuk bakat dan pembangunan wanita agar mereka cemerlang dalam industri logistik yang sentiasa berkembang.
“Ninja Van Malaysia terus mempertingkatkan usaha dan menggesa pemain industri untuk mengambil pendekatan inklusif dalam mempertingkatkan kualiti kerja. Pada Hari Wanita Antarabangsa ini, Ninja Van Malaysia menggalakkan lebih ramai wanita meneroka kerjaya dalam bidang logistik,” katanya. – Edisi 9