26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Puspadu hab data, digital baharu Kementerian Pertahanan

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Pertahanan hari ini melancarkan infrastruktur maklumat kritikal, Pusat Data Bersepadu (Puspadu) yang menjadi hab menempatkan data dan perkhidmatan digital “End to End” (E2E), aplikasi dan sistem kritikal, pangkalan data dan arkib digital milik kementerian.

Menurut Kementerian Pertahanan, Puspadu juga merupakan koridor digital yang menghubungkan ibu Pejabat Wisma Pertahanan dengan semua markas, formasi pertahanan yang terletak di kem, pangkalan, dan wilayah operasi ATM menerusi sambungan kampus SDLAN dan SDWAN, rangkaian selamat MINDEF*NET dan MyGOV*NET.

Katanya, Puspadu turut dibina bersama-sama dengan bangunan pencawang baharu sebagai sokongan ‘lebihan’ bekalan tenaga elektrik.

“Puspadu merupakan Green Data Center (GDC) yang telah pun mendapat pengiktirafan Green Climate Initiative (GCI).

“Pusat ini direka bentuk dengan mengambil kira keefisienan, kelestarian, kemampanan dan jaminan keselamatan bagi menyimpan data utama dan sistem seperti yang diaspirasikan dalam Kertas Putih Pertahanan dan teras Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) MINDEF (2021-2025),” katanya menerusi Facebook hari ini.

Majlis pelancaran Puspadu disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd. Aziz di Wisma Perwira hari ini.

Sementara itu, turut sama diadakan pelancaran bagi (PSP) MINDEF 2021 – 2025 dan Polisi Keselamatan Siber (PKS).

Menurut Kementerian Pertahanan, pelan strategik itu  telah  siap dibangunkan dan mendapat kelulusan pada Januari tahun lalu. 

Tambahnya, PSP MINDEF 2021-2025 mengandungi lima teras, 14 inisiatif, 19 program dan 46 aktiviti yang dirancang sejajar dengan pelan strategik digital nasional.

“Manakala PKS MINDEF pula merupakan dasar yang menggariskan kehendak, komitmen dan ekspektasi pengurusan tertinggi kementerian ini terhadap aspek keselamatan siber dan keselamatan maklumat.

“PKS mengambil kira keperluan kementerian dari aspek keselamatan organisasi, perlindungan aset maklumat, perkhidmatan infrastruktur maklumat kritikal seperti pusat data dan rangkaian, data dan rekod digital terperingkat, elemen sumber manusia, dan penggunaan teknologi digital dalam memastikan kesinambungan perkhidmatan digital di kementerian ini,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan