TIGA penagih dadah nekad mengulangi jenayah yang sama bagi mendapatkan wang dalam jumlah yang banyak apabila diberkas meletupkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) buat kali ketiga.
Kejadian terbaru dilakukan di Setia Alam, Shah Alam, Selangor, 23 Februari lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil siasatan lanjut mendapati ketiga-tiga mereka pernah terlibat dalam dua lagi kes letupan mesin ATM dari bank sama pada Disember 2020 dan Februari tahun lalu di Meru.
“Ujarnya kesemua suspek yang diburu berjaya dicekup dalam tiga serbuan berasingan, kelmarin. Kesemua suspek termasuk dua daripada mekanik berusia 30 hingga 43 tahun ditangkap sekitar Kuang dan Meru.
“Semasa serbuan dilakukan didapati mereka sedang mencuci dakwat yang berada wang tersebut menggunakan cecair peluntur.
“Ini berikutan semasa ATM diletupkan kumpulan suspek ini didapati wang itu telah disemburkan dengan dakwat dari mesin tersebut,” katanya pada sidang akhbar di IPK Selangor, hari ini.
Ujar Hussein lagi, penjenayah berkenaan memilih ATM dari bank sama ekoran masih menggunakan sistem mesin yang lama iaitu boleh ditebuk dan diletupkan dengan gas yang biasa digunakan bagi tujuan kimpalan bes.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan juga mendapati dalang atau ketua kumpulan ini adalah seorang mekanik berusia 43 tahun.
“Semasa dalangnya ditangkap kita turut merampas tong gas selain merampas kenderaan utiliti sukan (SUV) Mitsubishi ASX yang dipercayai digunakan semasa kejadian.
“Turut dirampas dalam tiga serbuan seperti wang tunai berjumlah RM202,400, gulungan kabel dan ‘signal jammer’ dan tiga telefon bimbit pelbagai jenama.
“Ketiga-tiga suspek juga adalah penagih dadah dan semakan mendapati mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya.
Dalam pada itu Hussein berkata, pihaknya kini dalam proses melengkapkan siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan kes disiasat mengikut Seksyen 436/379 Kanun Keseksaan.
Media 23 Februari lalu melaporkan tiga penjenayah dipercayai mengambil masa lima minit bagi meletupkan mesin ATM sebelum melarikan wang berjumlah RM349,000 di sebuah bank di Setia Alam.
Mereka yang dikatakan profesional itu meletupkan ATM tersebut menggunakan tekanan gas selain menyembur kamera litar tertutup (CCTV) premis dengan cat hitam sehingga menyebabkan rakaman kabur dan kurang jelas.
-EDISI9