29.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Premis terlibat seleweng minyak diesel subsidi diserbu

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam satu serbuan Ops Tiris yang dilakukan ke atas sebuah premis tanpa nombor di Semenyih, Selangor Selasa lalu.

Serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota penguatkuasa daripada KPDN Putrajaya yang bermula kira-kira jam 9.30 malam itu adalah hasil risikan yang telah dilakukan oleh pihak KPDN selama beberapa hari sebelum serbuan dilakukan.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan premis yang disyaki dijadikan stor tempat penyimpanan dan pemindahan minyak diesel bersubsidi.

Katanya, pasukan serbuan telah menemukan minyak diesel dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 5,000 liter serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan.

“Selain itu, minyak diesel, pam bermotor, paip penyambung, beberapa dokumen berkaitan serta peralatan-peralatan lain turut ditemui di lokasi serbuan dan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 13,250,”katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sehubungan dengan itu, katanya, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuklah sumber minyak diesel ini diperolehi dan diedarkan.

Menurut beliau, berdasarkan statistik sebanyak 2,582 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara menerusi penguatkuasaan Ops Tiris bermula 1 Mac 2023 sehingga 21 Mac 2023.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 69 kes telah dihasilkan yang melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM 1.27 juta,”katanya.

Advertisements

Ujarnya, KPDN ingin memberi amaran keras ke atas mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

“Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000 bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.

“Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel.

“Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas (15) tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi,”katanya.

Justeru, katanya, KPDN akan mempergiatkan operasi ke atas pihak-pihak lain yang terlibat melalui proses pengauditan bersama agensi penguatkuasaan lain seperti Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan ketirisan dan penyelewengan ke atas barangan kawalan dan bersubsidi terutamanya minyak diesel ini dapat dibanteras daripada terus berleluasa.

“KPDN juga ingin memberikan amaran keras kepada semua yang berkaitan dan menegaskan bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram ini.

“Tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mereka di Mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001),”katanya.

Azman berkata, masyarakat disaran untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat terutamanya berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi yang boleh menyebabkan kerugian besar kepada rakyat dan negara. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan