PENUBUHAN Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) berbayar tidak akan menggunakan peruntukan kerajaan atau dibina di atas tanah rakyat miskin.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan menggunakan inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dan bekerjasama dengan institusi kewangan untuk pembiayaan MRSM terbabit.
Menurutnya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), permintaan untuk memasuki MRSM berada di tahap lebih 300 peratus daripada kemampuan dan hal itu perlu ditangani serta dilakukan dengan kaedah di luar kotak.
“Kerajaan juga sudah melakukan kajian kebolehlaksanaan dan melihat ramai pelajar yang berkelayakan untuk memasuki MRSM, tetapi tidak layak dari segi pendapatan ibu bapa.
“Tanpa berkompromi dari segi kualiti dan kelulusan minimum akademik, kita akan membuka ruang seluas-luasnya untuk anak golongan T20, M40 dan alumni memasuki MRSM ,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Syed Saddiq (PN-Muar) berhubung proses dan sumber pendanaan untuk membina MRSM berbayar.
Jelas Ahmad Zahid lagi, beliau akan memastikan pembinaan sekolah MRSM berbayar tidak akan didirikan di atas tanah rakyat miskin tetapi bekerjasama dengan beberapa pihak untuk melakukan kerjasama pintar.
“Saya juga akan berjumpa dengan pengerusi muafakat dan Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) MRSM masing-masing supaya pelajar B40 tidak terbeban dengan kos tersembunyi,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) bahawa penubuhan MRSM berbayar akan menggunakan dana kerajaan bagi tujuan perbelanjaan dan pembayaran gaji, Ahmad Zahid berkata, beliau sudah berjaya menubuhkan Sekolah Agama Imtiaz Ulul Albab tanpa sebarang peruntukan kerajaan.
“Atas pengalaman peribadi, saya sudah membina Sekolah Agama Imtiaz Ulul Albab tanpa sesen pun peruntukan daripada kerajaan dan sudah beroperasi selama 11 tahun.
“Sekolah swasta yang saya sudah lakukan, inilah yang kita akan lakukan dengan MRSM. Jangan khuatir, pelaksanaannya kita akan pastikan tiada kompromi dari segi kualiti,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan MRSM berbayar diwujudkan khusus untuk segmen masyarakat elit berpendapatan tinggi.
Ujar Asyraf, cadangan itu adalah hasil pandangan yang diperoleh daripada ramai pihak.
“MRSM berbayar itu boleh diuruskan oleh Kumpulan Mara Corporation (Mara Corp),” katanya.
-EDISI9