24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Pihak terlibat PRN diseru patuh peraturan – Sultan

Mesti Baca

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru semua pihak yang mengambil bahagian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti agar mematuhi peraturan sedia ada dan saling hormat-menghormati.

Baginda juga mengingatkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) supaya berterusan mengeluarkan arahan dari semasa ke semasa agar umat Islam khususnya ahli politik tidak menjadikan masjid serta surau sebagai pentas berceramah dan berkempen.

Ingatlah, tingkah laku orang-orang politik semasa tempoh kempen akan disaksikan dan dinilai oleh rakyat sebelum mereka membuat pemilihan,” titah Sultan Sharafuddin sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keenam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-14 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Dalam pada itu, Sultan Selangor juga mengharapkan proses pembinaan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) dapat dilaksanakan dengan segera secara teratur dan telus, menepati masa, kos serta kualiti yang ditetapkan agar dapat memberi manfaat sewajarnya kepada rakyat.

“Beta yakin KSSA ini dapat menjadi pemangkin kepada era baharu kegemilangan pasukan bola sepak Merah Kuning dan menjadi mercu tanda kebanggaan rakyat Selangor,” titah baginda.

Sultan Selangor turut berkenan menzahirkan ucapan tahniah kepada kerajaan negeri atas pengiktirafan projek Gombak Hulu Langat Geopark sebagai penerima Geopark Kebangsaan yang pertama melibatkan 20 geotapak di Gombak dan Hulu Langat seluas 112,955 kilometer persegi.

Advertisements

“Pengiktirafan Geopark akan memperkukuh komitmen kerajaan negeri dalam usaha memelihara alam sekitar untuk kesejahteraan rakyat dan menyokong usaha ke arah pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seterusnya mencapai usaha memelihara warisan geologi, budaya dan biologi.

“Beta amat berharap Selangor akan menjadi negeri yang lestari dan hijau, selari dengan pelbagai teknologi pembangunan yang menyokong penjagaan alam sekitar. Kemerosotan alam sekitar dan kesannya kepada hidupan flora dan fauna serta impaknya kepada kesejahteraan rakyat tidak boleh lagi dipandang remeh,” titah baginda.

Sultan Selangor juga berharap pencapaian semasa ekonomi negeri akan mendorong lebih ramai pelabur meneroka potensi di Selangor dan kerajaan negeri perlu sentiasa memainkan peranan sebagai pemudah cara kepada pelabur bagi menarik minat mereka melabur.

“Beta mengambil maklum prestasi pelaburan bagi tempoh Januari hingga Sept 2022, Selangor telah merekodkan nilai pelaburan berjumlah RM9.70 bilion dengan 199 projek perkilangan yang diluluskan (dalam tempoh itu),” titah Sultan Selangor.

Titah baginda, daripada jumlah itu, sebanyak RM6.12 bilion daripada pelaburan asing manakala selebihnya ialah pelaburan tempatan dengan 11,601 potensi peluang pekerjaan berjaya diwujudkan melalui projek-projek perkilangan yang diluluskan di negeri itu.

Sidang DUN Selangor dijadualkan berlangsung selama dua minggu bermula esok. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan