DATUK Seri Najib Tun Razak membidas dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengamalkan pemerintahan diktator.
Menerusi hantaran yang dimuat naik pengendali Facebook Najib, berkata, tuduhan Dr.Mahathir adalah pelik memandangkan sebelum ini mantan Ahli Parlimen Langkawi itu juga mengamalkan pimpinan diktator terhadap Najib sekeluarga selepas menjadi Perdana Menteri.
“Ini selepas Dr. Mahathir memimpin gabungan Pakatan Harapan (PH) sekaligus menumbangkan kerajaan Barisan Nasional yang diketuai Najib pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu (PRU14).
“Mr. ISA gelar orang lain diktator,” katanya dalam kenyataan.
Pengendali FB Najib berkata demikian merujuk rekod sebelum ini ramai pemimpin pembangkang telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menerusi Ops Lalang ketika Dr.Mahathir memimpin negara selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri keempat.
Ini berikutan Dr. Mahathir sebelum ini dilaporkan telah menyelar kerajaan mengamalkan diktator dan zalim kerana menyekat kebebasan orang ramai untuk mengkritik terutamanya parti lawan serta mengamalkan pendakwaan terpilih berkaitan isu rasuah.
Dalam pada itu, kenyataan itu juga turut menyenaraikan tindakan Dr.Mahathir ketika menjadi PM di bawah pentadbiran PH lalu yang disifatkan sebagai diktator dengan nada sindiran.
“Sekat dia dan keluarganya dari keluar negara sebelum ada apa-apa dakwaan.
“Letak sekatan jalan raya di depan lorong ke rumah dia. Tunggu sampai malam sebelum Ramadan dan minta media datang saksikan dan buat liputan.
“Geledah rumahnya untuk beberapa hari. Tukar Peguam Negara, tukar ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, tukar Ketua Hakim negara, tukar Gabenor Bank Negara dan tukar Ketua Polis Negara.
“Selepas itu beku semua akaun-akaun bank dia dan keluarga dia termasuk cucu-cicit termasuk parti dia.
“Fail saman lucut hak ke atas harta-hartanya dan rampas dulu, bicara kemudian. Kenakan dia, semua ahli-ahli keluarga dia dan peguam-peguam dia dengan berpuluh-puluh tuduhan tak masuk akal termasuk tuntutan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Jika dia ambil cuti sakit sehari, tahan doktor dia untuk disoal siasat,” katanya lagi.
Tambahnya, menerusi senarai yang telah dikemukakan, sekiranya kerajaan PM Anwar mengamalkan tindakan terhadap Dr. Mahathir seperti yang telah dilalui oleh Najib, maka ahli politik berusia 98 tahun itu boleh menggelarkan kerajaan hari ini sebagai diktator. – EDISI9