26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

NRECC pandang serius pembaziran air domestik

SPAN telah melantik Shopee sebagai platform e-dagang bagi pemberian rebat untuk pembelian produk cekap air di bawah program Jimat Air 4.0

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) memandang serius isu pembaziran penggunaan air domestik dan meminta kerjasama semua pihak untuk sama-sama menggembleng usaha
mengurangkan kadar penggunaan.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, berdasarkan statistik tahun 2021 penggunaan air domestik bagi setiap individu di negara ini ialah sebanyak 251 liter sehari.

Beliau berkata, kadar penggunaan tersebut adalah tinggi berbanding sasaran yang telah ditetapkan dalam Pelan Kelestarian Alam Sekitar di Malaysia 2020–2030, iaitu sebanyak 160 liter sehari untuk setiap individu menjelang tahun 2030.

“Penjimatan sebanyak 91 liter merupakan sesuatu yang amat sukar untuk dicapai sekiranya kita tidak mempunyai kesedaran dan tidak juga memainkan peranan untuk menggunakan air secara berhemat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Program Jimat Air 4.0 di Ipoh Parade, Perak hari ini.

Nik Nazmi berkata, pihaknya melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melaksanakan inisiatif menggalakkan penggunaan air secara berhemat, antaranya melalui penggunaan produk yang mempunyai label Cekap Air melalui pemberian rebat secara bersasar.

Beliau berkata, usaha tersebut diteruskan pada tahun ini melalui Program Jimat Air 4.0 iaitu kesinambungan siri Program Jimat Air 1.0 hingga 3.0 yang dilaksanakan pada tahun 2021 hingga 2022.

Katanya, Program Jimat Air 4.0 ini merupakan satu inisiatif SPAN di bawah kempen penggalakan penggunaan produk cekap air yang bermula dari bulan Mac 2023 hingga 31 Disember 2023.

“Untuk itu, SPAN telah melantik Shopee Mobile Malaysia Sdn Bhd (Shopee) sebagai platform e-dagang bagi pemberian rebat untuk pembelian produk cekap air di bawah Program Jimat Air 4.0 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM100,000,” katanya.

Ujar beliau, pelaksanaan Program Jimat Air 4.0 pada kali ini melibatkan nilai rebat berjumlah RM100,000 yang ditawarkan melalui platform e-dagang Shopee.

“Ia meliputi produk pili air dengan e-rebat sebanyak 50 peratus diskaun daripada harga jualan, pancuran mandi (50 peratus diskaun), tandas dwi simpahan (RM150 rebat), urinal (RM150 rebat) dan mesin basuh (RM200 rebat).

“Rebat bagi lima produk dinyatakan boleh ditebus melalui pembelian secara dalam talian mulai 11 Mac 2023 sehingga ia habis ditebus atau selewatnya pada 31 Disember 2023,” katanya. – Edisi 9

Terkini

GiatMARA Bagan Datuk dinaik taraf jadi Institut Malaysia-China

PUSAT GiatMARA Bagan Datuk, Perak bakal dinaikkan taraf sebagai Institut Malaysia-China (MCI) yang akan memberi fokus dalam TVET bidang...

Lagi Artikel Berkaitan