25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Kerajaan setuju tidak naik tarif elektrik

Ini bermakna sekitar 99 peratus penguna domestik di Semenanjung dengan penggunaan elektrik bulanan 1,500 kilowatt per jam (kWj) dan ke bawah tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN bersetuju untuk tidak menaikkan tarif elektrik kepada hampir semua pengguna domestik dan pengguna bukan domestik voltan rendah.

Ia berikutan pelarasan tarif elektrik di Semenanjung bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2023.

Ini bermakna, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad, sekitar 99 peratus penguna domestik di Semenanjung dengan penggunaan elektrik bulanan 1,500 kilowatt per jam (kWj) dan ke bawah tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik.

Menurut beliau, perkara itu dipersetujui menerusi Mesyuarat Jemaah Menteri pada 16 Jun lalu.

Beliau berkata, melalui mesyuarat itu kerajaan bersetuju menampung kos subsidi elektrik sebanyak RM5.2 bilion sempena pelarasan tarif elektrik di Semenanjung Malaysia bagi tempoh berkenaan.

“Manakala pengguna bukan domestik voltan tinggi dan sederhana serta kategori baru iaitu utiliti air dan pembentungan akan menikmati penurunan,”katanya dalam sidang media yang turut disiarkan di laman Facebook kementeriannya, hari ini.

Beliau berkata, ia ekoran purata harga bahan api yang menurun sedikit bagi tempoh Julai 2022 hingga Jun 2023 

“Pengguna domestik dengan penggunaan elektrik bulanan 1,500/kWj dan ke bawah tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik. Ini adalah 99 peratus daripada pengguna domestik di Semenanjung.

“Pengguna bukan domestik kategori tarif voltan rendah (tarif B dan D), tarif pertanian spesifik (tarif H, H1 dan H2) tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik yang mana surcaj Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) pada kadar 3.7 sen/kWj dikekalkan.

Advertisements

“Dalam erti kata yang lain, perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) termasuk restoran, kedai runcit, bakeri, bengkel-bengkel kecil, petani, penternak, pekebun dan lain-lain perniagaan seumpamanya juga tidak akan mengalami sebarang kenaikan tarif elektrik,”katanya.

Nik Nazmi berkata, kategori pengguna bukan domestik iaitu operator air dan pembentungan di negeri-negeri akan menikmati penurunan kadar surcaj daripada 20 sen kepada 3.7 sen/kWj.

Beliau berkata, keputusan itu adalah selaras dengan usaha bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan operator air untuk menyediakan air terawat dan bersih kepada pengguna.

“Pengguna bukan domestik sederhana dan tinggi dari kalangan industri dan komersil akan menikmati penurunan kadar surcaj daripada 20 sen kepada 17 sen/kWj,”katanya.

Katanya, ia selaras hasrat kerajaan menerusi Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) supaya subsidi elektrik dilaksana secara bersasar bermula Julai ini.

“Pengguna domestik dengan penggunaan elektrik tinggi melebihi 1,500/kWj atau bersamaan bil elektrik minimum RM708 sebulan akan dikenakan surcaj pada kadar 10 sen/kWj.

“Dianggarkan seramai 83,000 pengguna iaitu satu peratus pengguna domestik akan mengalami kenaikan bil elektrik bulanan minimum sebanyak RM187 (25 peratus),”katanya.

Menurutnya, walaupun berlaku kenaikan bagi pengguna domestik kategori berkenaan, kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM58 juta memandangkan surcaj ICPT tidak dilepaskan sepenuhnya.

“Pengguna boleh melihat jumlah subsidi yang diberikan oleh kerajaan dalam bil elektrik bulanan masing-masing,”katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan