24.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Kanak-kanak PPR Lembah Klang ada kecenderungan bunuh diri

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KAJIAN oleh Institut Penyelidikan Tingkahlaku Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati sebanyak 13.4 peratus kanak-kanak dan remaja yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Klang mempunyai kecenderungan membunuh diri dan mencederakan diri sendiri.

Kajian dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada tahun lalu itu bagi menilai tahap kesihatan mental remaja dan kanak-kanak yang tinggal di PPR Kuala Lumpur dan Selangor semasa Covid-19.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, kajian itu menggunakan kaedah kuantitatif dan kualitatif membabitkan 1,578 kanak-kanak dan remaja berusia 10 hingga 17 tahun yang menetap di 37 PPR Kuala Lumpur dan Selangor.

“Hasil kajian menunjukkan 13.4 peratus daripada responden itu mempunyai pemikiran membunuh diri dan mencederakan diri sendiri serta 12.3 peratus mengalami masalah kesihatan mental iaitu kemurungan dan kebimbangan.

“Kita dapati faktor penyumbang terbesar isu itu ialah masalah ekonomi keluarga kerana selepas tiga tahun Covid-19, masyarakat kita mungkin jatuh daripada M40 kepada B40 dan peluang mendapatkan semula pekerjaan mengambil masa.

“Selain itu, cabaran seperti reka bentuk PPR itu agak terhad (sempit), tidak dapat tampung (kapasiti) terutama bagi yang berkeluarga besar serta gaya hidup dan (kurang) kasih sayang keluarga menyebabkan golongan ini keluar untuk hilangkan tekanan mereka.

“Salah satu kesan daripada masalah kesihatan mental akan menyebabkan penyalahgunaan bahan terlarang dan ini terbukti sebab itulah kita jalankan kajian ini supaya masyarakat sedar perkara ini berlaku depan mata kita,” katanya.

Advertisements

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Bersama Komuniti PPR: Myhealthymind@PPR dan Pelancaran Laporan Kajian Faktor Penyumbang kepada Tekanan Psikologi, Strategi Daya Tindak dan Tingkahlaku Mendapatkan Bantuan Dalam Kalangan Kanak-kanak dan Remaja yang tinggal di PPR Lembah Klang di PPR Pinggiran Bukit Jalil, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dan Ketua Pembabitan dan Pembangunan Remaja, UNICEF, Hayon Nam.

Ujar Lukanisman, dapatan kajian itu menunjukkan masalah kesihatan mental tidak boleh ditangani KKM bersendirian sebaliknya memerlukan kerjasama agensi lain berkaitan.

“Kita tidak boleh lagi bergerak silo. Ini bermaksud Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan agensi lain perlu turun ke bawah terutama menyedarkan masyarakat masalah ini semakin meningkat dalam masyarakat Malaysia lebih-lebih lagi dalam cabaran ekonomi tidak stabil ini.

“Di peringkat kementerian, kita cuba mendapatkan bantuan daripada Kementerian Komunikasi dan Digital supaya Talian HEAL 15555 diberikan kadar Rahmah atau percuma untuk memudahkan pemanggil berkongsi masalah dialami mereka kepada pegawai kaunselor bermula 8 pagi hingga 12 tengah malam.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

MasChain perkenal ekosistem teknologi ‘blockchain’ di Malaysia

SYARIKAT pakar teknologi blockchain, Masverse Sdn. Bhd. melancarkan MasChain, platform transformatif yang direka untuk merevolusikan ekosistem digital bagi kerajaan,...

Lagi Artikel Berkaitan