27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Hafidz Roshdi diarah jalani rawatan di Hospital Bahagia

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

MAHKAMAH Majistret Kuala Kubu Bharu, Selangor hari ini memerintahkan pelakon, Hafidz Roshdi dihantar ke Hospital Bahagia bagi menjalani rawatan psikiatri.

Perintah itu dikeluarkan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak selaku Majistret, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar bagi pemeriksaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

Siti Fatimah turut menetapkan Hafidz diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bersama syarat tambahan iaitu mendapatkan rawatan dan laporan kesihatan di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta, Perak selain dilarang mengganggu mangsa dalam apa juga bentuk dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam yang mewakili Hafidz iaitu Datuk Akbardin Abdul Kader bersetuju dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

Terdahulu, Nurul Qistini mencadangkan Hafidz menjalani rawatan dan mendapatkan laporan kesihatan di Hospital Bahagia namun dibantah oleh Akberdin atas alasan anak guamnya hanya mengalami bipolar dan bukanlah satu masalah yang serius.

Akbardin dalam rayuan meminta hakim mengurangkan jumlah jaminan dari RM10,000 di bawah paras RM5,000 atas alasan anak guamnya menanggung dua anak dan tiada tawaran berlakon selepas kejadian terbabit. Tawaran berlakon juga ditarik balik.

Akberdin kemudian meminta mahkamah berehat 30 minit bagi membolehkan mereka membincangkan perkara terbabit dengan pihak pendakwaan dan Siti Fatimah memberi kebenaran.

Hafidz perlu hadir menjalani rawatan dan mendapatkan laporan kesihatan dan rawatan pada 28 Mac ini.

Mahkamah menetapkan 9 Jun ini bagi sebutan semula kes dan laporan psikiatri tertuduh.

Terdahulu, Hafidz, 29, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menumbuk pipi kiri isterinya sebanyak tiga kali hingga luka dalam kejadian di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya pada 2 Mac lalu.

Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim.

Berdasarkan pertuduhan, Hafidz didakwa menumbuk isterinya Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, menggunakan tangan sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak di pipi kiri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya pukul 3.30 pagi pada 2 Mac lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

-EDISI9

Terkini

‘Rebel’, filem aksi arahan pertama Awie

SELEPAS bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu...

Lagi Artikel Berkaitan