30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Didenda tipu majikan guna kad kredit pelanggan tanpa izin

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BEKAS  pegawai bank didenda RM8,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Taiping, Peral, hari ini, atas pertuduhan menipu majikannya dengan meluluskan kad kredit pelanggan untuk kegunaan sendiri, tahun lalu.

Tertuduh, Leong Yew Hong, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nur Atiqah Sapari.

Tertuduh turut diperintahkan dipenjara lapan bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pegawai pemasaran eksekutif bertanggungjawab menguruskan permohonan dan kelulusan kad kredit milik seorang individu.

Lelaki itu telah menipu pihak bank dengan meluluskan kad kredit individu berkenaan yang mana kepentingannya dalam urusan tersebut perlu dilindungi suatu kontrak di sisi undang-undang pada 27 November 2022.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, mangsa membuat aduan kepada pihak bank setelah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) menunjukkan terdapat kad kredit dikeluarkan atas namanya yang telah digunakan berjumlah RM8,564.40.

Advertisements

Siasatan lanjut yang dijalankan pengurus siasatan bank mendapati tertuduh mempunyai 17 kad kredit milik pelanggan lain setelah mendapatkan maklumat pelanggan sewaktu mengadakan promosi di sekitar Taiping.

Tertuduh melakukan permohonan dengan menggunakan kad pengenalan serta mencetak maklumat kad pengenalan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Puteri Hikmatul Raudah Dzulaika Mohamad memohon hukuman ringan dikenakan dengan mengambil kira pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan.

Peguam juga berhujah bahawa tertuduh kesal dengan perbuatan itu dan berjanji tidak mengulangi kesalahan pada masa depan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran kerana tertuduh menggunakan posisinya bagi mendapatkan butiran hingga menyebabkan kerugian kepada pengadu.

Media pada Selasa lalu melaporkan polis menahan seorang pegawai bank selepas disyaki menggunakan maklumat pelanggan untuk membuat permohonan kad kredit bagi kegunaan sendiri yang mengakibatkan kerugian sebanyak RM563,422.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Wanita perlu jaga darjat, jangan bergaduh kerana ‘buaya’

USAHAWAN selebriti, Datin Thalia Baiduri menitip pesan kepada semua wanita agar sentiasa menjaga darjat serta nilai diri masing-masing. Baginya tidak perlu...

Lagi Artikel Berkaitan