KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menguatkuasakan Akta Antigangguan Seksual (Akta 840) secara berperingkat bermula hari ini.
KPWKM menerusi kenyataan berkata, penguatkuasaan berkenaan melibatkan takrifan gangguan seksual, elemen kesedaran dan pencegahan mengenai gangguan seksual kepada masyarakat mengambil kira kepentingan mendidik.
Selain itu katanya, akta itu turut menyentuh pemahaman serta kesedaran rakyat tentang betapa seriusnya isu yang melibatkan gangguan seksual sebelum Akta itu dikuatkuasakan sepenuhnya.
“Kami percaya apabila pemahaman dan kesedaran masyarakat tentang perlakuan gangguan seksual dan kesan-kesannya terhadap manga dapat dipertingkatkan, secara langsung membantu ke arah menyediakan persekitaran yang selamat.
“Ini bagi meningkatkan pengupayaan rakyat dalam ekonomi, sosial dan politik selain memastikan mereka tidak terpinggir dalam arus pembangunan negara untuk mencapai aspirasi Malaysia Madani,” katanya hari ini.
Akta 840 telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 20 Julai 2022 dan Dewan Negara pada 11 Ogos 2022.
Akta ini berkenaan diwartakan sebagai Akta baharu pada 18 Oktober tahun lalu selepas menerima perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. -Edisi 9