27.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Maritim Kelantan tahan 4 bot bersama 31 nelayan asing

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MARITIM Negeri Kelantan berjaya menahan empat bot nelayan Vietnam dalam operasi berasingan sepanjang minggu lalu.

Pengarahnya, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, dua bot ditahan oleh pasukan peronda Maritim Maritim pada 20 Mac manakala dua lagi dilakukan oleh KM Jujur pada 22 Mac dalam pelaksanaan Op Naga Barat, Op Kuda Laut dan Op Damai.

Menurutnya, pada 20 Mac lalu semasa bot Maritim Malaysia melaksanakan rutin rondaan, dua bot nelayan asing yang disyaki dari Vietnam dikesan di antara jam 3.45 hingga 4.00 petang pada kedudukan 64 batu nautika dari Muara Tok Bali.

“Hasil pemeriksaan awal, bot pertama dikendalikan lima kru termasuk tekong manakala bot kedua dikendalikan dua kru termasuk tekong.

“Kesemua mereka yang ditahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan bot tidak mempunyai permit menangkap ikan daripada Pengarah Perikanan.

“Kedua-dua bot yang ditahan mengambil masa 16 jam untuk diiring oleh bot peronda Maritim Malaysia ke Jeti Maritim Negeri Kelantan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dua tangkapan seterusnya yang dilakukan KM Jujur adalah pada 22 Mac lalu berdasarkan hasil maklumat sulit yang diterima daripada pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Bot pertama ditahan pada sekitar jam 8.45 pagi pada jarak lebih kurang 180 batu nautika dari Muara Tok Bali.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati seramai enam kru termasuk tekong warga Vietnam berada di atas bot.

Advertisements

“Manakala bot kedua ditahan pada sekitar jam 10.57 pagi bersama 18 kru termasuk tekong di atas bot pada kedudukan 170 batu nautika dari Muara Tok Bali.

“Kedua-dua bot juga melakukan kesalahan yang sama iaitu kru bot tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan tiada permit menangkap ikan di bawah Akta Perikanan 1985,”katanya.

Menurut Syed Nor Adli, ketika penahanan dibuat, keempat-empat bot berkenaan tidak memberikan kerjasama dan cuba meloloskan diri ke sempadan Vietnam namun berjaya dipintas.

“Kesemua 31 warga Vietnam daripada empat bot yang ditahan adalah dalam lingkungan umur 14 hingga 64 tahun.

“Jumlah hasil rampasan keempat – empat bot berkenaan dianggarkan bernilai RM 4.2 juta merangkumi peranti navigasi, peralatan menangkap ikan, hasil perikanan kira-kira 1,000 kilogram dan bekalan diesel 9,200 liter.

“Sehubungan dengan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia dan Seksyen 16 (3) akta yang sama kerana gagal memberitahu pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel, dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia.

“Sabitan di atas kedua-dua kesalahan itu boleh dihukum denda sehingga RM 6 juta kepada tekong dan RM 600 ribu ke atas setiap kru mengikut Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985.

“Bot dan peralatan menangkap ikan boleh dilucuthak kepada kerajaan Malaysia jika sabit kesalahan.

“Kesemua kru juga akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,”katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sultan Nazrin berkenan letak batu asas IPTTI, URCC UPSI

SULTAN Perak, Sultan Nazrin berkenan berangkat ke Majlis Perletakan Batu Asas bagi Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI)...

Lagi Artikel Berkaitan