28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Ahli politik dilarang ceramah di masjid, surau Terengganu

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEMUA ahli politik termasuk Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Anggota Dewan Negara tidak dibenar menggunakan masjid serta surau di seluruh Terengganu sebagai pentas kuliah atau ceramah.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, larangan bertujuan memastikan masjid dan surau tidak disalah guna, selain mengelak pengisiannya bercampur aduk dengan unsur politik kepartian.

Menurutnya, selain kuliah dan ceramah, larangan turut meliputi pengajaran agama di masjid dan surau, selain bertindak sebagai khatib dan iman solat Jumaat.

“Pengecualian diberikan kepada pemegang tauliah mengajar serta individu yang memiliki kebenaran daripada MAIDAM.

“Masjid adalah sebuah institusi keagamaan yang sangat penting dan mulia bagi umat Islam, selain lambang kepada penyatuan dan perpaduan umat Islam yang perlu dimakmurkan dengan sebaik mungkin.

“Justeru, masjid dan surau tidak boleh sesekali disalahgunakan bagi tujuan yang boleh menimbulkan dan kegelisahan serta perselisihan di kalangan masyarakat.

“Ini termasuk menggunakan masjid dan surau bagi melaksanakan apa-apa aktiviti atau program yang pengisiannya bercampur aduk dengan unsur politik kepartian,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut menzahirkan rasa dukacita dengan pembabitan segelintir ahli politik yang menyampaikan kuliah, ceramah dan pengajaran agama di masjid dan surau serta bertindak sebagai khatib dan iman solat Jumaat tanpa kebenaran MAIDAM.

Justeru, menurutnya, semua pengerusi dan ahli jawatankuasa masjid serta surau hendaklah memastikan penceramah, pengkuliah dan tenaga pengajar serta khatib solat Jumaat yang dijemput mempunyai tauliah atau kelulusan MAIDAM.

“Hal sama terpakai untuk mana-mana program keagamaan dianjurkan agensi kerajaan termasuk jabatan kerajaan, badan berkanun kerajaan, anak syarikat kerajaan negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diadakan di bangunan agensi atau tempat awam.

“Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menerusi Unit Penguatkuasa Syariah Pejabat Agama Daerah dikehendaki membuat pemantauan atas arahan dikeluarkan supaya ia dapat dipatuhi.

“Sultan Terengganu (Sultan Mizan Zainal Abidin) juga menyeru semua pihak supaya dapat menghormati dan mematuhi segala peraturan dan arahan dikeluarkan MAIDAM dan JHEAT,” katanya.

-EDISI9 

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan