PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mesyuarat Kabinet hari ini mengarahkan semua menteri meneliti Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 2 membabitkan kementerian masing-masing.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri menegaskan walaupun dapatan mungkin berkait isu sebelum ini, tetapi perkara yang dibangkitkan LKAN mesti diselesaikan segera.
“Menteri perlu meneliti laporan membabitkan kementerian masing-masing dan menyelesaikan segera perkara yang dibangkitkan LKAN itu,” katanya yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet hari ini.
Secara keseluruhannya, LKAN yang dikeluarkan pada 16 Februari lalu mendedahkan pelaksanaan aktiviti, projek dan program Kerajaan Persekutuan sudah dilaksanakan mengikut objektif ditetapkan, namun masih terdapat kelemahan seperti sasaran output dan keberhasilan yang ditetapkan tidak tercapai sepenuhnya.
Anwar pada 17 Januari lalu mengarahkan Jemaah Menteri supaya mengambil serius dan meneliti setiap teguran LKAN mengenai soal perbelanjaan dan ketirisan yang tidak menepati syarat serta peraturan. – BERNAMA

