KEAHLIAN Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di seluruh negara ketika kini mencatatkan jumlah seramai 120,756 orang.
Penolong Setiausaha Armada, Muhammad Faiz Rahmad berkata, jumlah keahlian meningkat sebanyak 11,637 orang berbanding 109,119 pada tahun sebelumnya.
Menurutnya, secara keseluruhan sayap parti itu mempunyai sebanyak 173 cawangan.
“Kalau kita lihat terdapat pertambahan yang sangat positif untuk keahlian Armada dan kita juga aman perbanyakkan lagi program-program pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Agung Armada di Dewan Menara PGRM, di Kuala Lumpur, hari ini.
Perhimpunan kali keempat ini juga menyaksikan seramai 429 perwakilan dari seluruh negara yang hadir.
Sementara itu, Pengerusi Tetap Armada Nasional, Akmal Zahin Zainal Zahir meluahkan keyakinan Perikatan Nasional (PN) akan menjadi kerajaan untuk menamatkan kepemimpinan pentadbiran negara semasa.
Menurut Akmal, pemimpin parti itu akan berusaha untuk mengakhiri ‘jangka hayat’ kerajaan yang didakwanya bersikap zalim.
“Tuhan memberikan kita satu dugaan, untuk melihat sama ada kita memang benar sabar, sama ada kita benar istiqamah dengan menangguhkan kita daripada menjadi kerajaan.
“Tetapi ini tidak bermakna kita tidak akan menjadi kerajaan. Saya yakin dengan pimpinan yang ada, akan cuba melakukan yang terbaik untuk memastikan rakyat Malaysia tidak akan terus dicengkam sang penguasa yang begitu zalim.
“Dia sanggup menggunakan kuasa untuk menekan parti lawan. Yang ini bukan sekadar dakwaan, ini jelas kita saksikan sendiri presiden kita (Tan Sri Muhyiddin Yassin) menjadi mangsa,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan berkenaan.
-EDISI9