25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Syarikat korporat perlu capai 30 peratus wanita pembuat keputusan

Ini kerana peratusan di sektor swasta masih rendah berbanding sektor awam yang kini melebihi sasaran iaitu 38 peratus.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SYARIKAT korporat dan swasta perlu diberi penekanan dalam memastikan sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan atau ahli lembaga pengarah syarikat tercapai.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ini kerana peratusan di sektor swasta masih rendah berbanding sektor awam yang kini melebihi sasaran iaitu 38 peratus.

“Dalam korporat belum tercapai, ia bukan dalam kawalan kami cuma kami terus beri advokasi sebab itu kami bekerjasama dengan badan bukan kerajaan untuk pastikan desakan kita dirasai oleh sektor korporat dan mereka akan cuba untuk pastikan mereka melakukannya.

“Ia lebih kepada peluang kepada golongan wanita kerana kita ada bank cv (mkt vitae kurikulum) daripada WLF (Yayasan Kepimpinan Wanita) dan kalau mereka rasa sukar mencari serta dapatkan wanita, dapatkan cv di situ untuk melihat data wanita di Malaysia yang mempunyai kelayakan diperlukan badan korporat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program ‘Breakfast Conversations with Datuk Seri Nancy Shukri‘, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi WLF, Datuk Dr Hafsah Hashim berkata, pada tahun lepas, syarikat tersenarai awam hanya mencapai 22 peratus golongan wanita dalam peringkat pembuat dasar.

Justeru, beliau mencadangkan sasaran 30 peratus wanita sebagai ahli lembaga pengarah syarikat dapat dijadikan dasar bagi memastikannya tercapai sekali gus memberi pulangan yang baik kepada negara.

“Saya percaya kalau ia dijadikan dasar oleh kerajaan kita akan bergerak pantas untuk mendapatkan 30 peratus itu dan kalau boleh kita nak lebih lagi.

“Ini kerana berbagai kajian termasuk PwC dan Bursa menunjukkan kalau meletakkan wanita sebagai ahli lembaga pengarah maka dari konteks keuntungan syarikat, pulangan daripada pelaburan, pulangan ekuiti semua akan meningkat, jadi kita bukan suka-suka cakap,” katanya. – BERNAMA

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan