25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Pindaan Akta Insolvensi sedang dirangka – Azalina

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CADANGAN pindaan terhadap Akta Insolvensi 1967 [Akta 360] sedang dirangka Jabatan Insolvensi Malaysia bagi menambah baik sistem pentadbiran kebankrapan di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penambahbaikan itu termasuk pemakaian cadangan pindaan terhadap kes kebankrapan terdahulu.

Menurut beliau, antara cadangan pindaan yang sedang dipertimbangkan oleh kerajaan termasuk penetapan had masa pemfailan Borang Bukti Hutang oleh Pemiutang (Seksyen 42 dan Jadual C Akta 360), untuk mengelakkan isu kelewatan pemfailan yang boleh menyukarkan pelepasan individu bankrap; membuat penambahbaikan kepada peruntukan pelepasan automatik bawah Seksyen 33C Akta 360 agar individu yang bankrap boleh dilepaskan daripada kebankrapan dalam tempoh yang lebih singkat.

“Kerajaan juga melihat cadangan untuk membolehkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi jarak jauh dalam urusan pentadbiran kes kebankrapan bagi memudahkan urusan pelanggan, pemegang taruh dan Jabatan.

“Membuat penambahbaikan kepada Seksyen 42 dan Jadual C Akta 360 dengan memansuhkan kewajipan untuk mengadakan mesyuarat pertama pemiutang agar pentadbiran kebankrapan boleh diteruskan dengan segera.

“Cadangan menambah kategori kes yang boleh dilepaskan melalui Sijil Pelepasan (Sijil KPI) tanpa bantahan oleh pemiutang seperti golongan bankrap yang berusia 70 tahun dan ke atas; dan individu bankrap yang tidak berkeupayaan kerana disahkan sebagai pesakit mental di bawah Akta Kesihatan Mental 2001 [Akta 615],” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu merujuk kepada laporan berita dua akhbar tempatan membabitkan isu insolvensi dan bankrap, kelmarin.

Tegas Azalina, jabatan itu juga melihat cadangan untuk menyelaras nilai harta bankrap termasuk peralatan kerja yang boleh dikecualikan untuk dibahagikan kepada pemiutang di bawah Seksyen 48(1)(a)(ii) Akta 360 dengan keadaan ekonomi dan kos sara hidup semasa.

Selain itu, menyelaras nilai ambang bagi pentadbiran kes kebankrapan kecil (small bankruptcies) di bawah Seksyen 106 Akta 360 serta had gaji ‘wage-earner’ bawah seksyen 107 Akta 360 dengan keadaan ekonomi dan dasar gaji minimum.

Menurutnya, kerajaan sentiasa mengalu-alukan sebarang maklum balas dan cadangan yang konstruktif daripada semua pihak mengenai isu kebankrapan.

“Sehubungan itu, sesi libat urus bersama pemegang taruh akan diadakan pada 7 Februari ini, untuk membincangkan hal berkaitan cadangan pindaan yang sedang dipertimbangkan,” katanya.

Azalina berkata, cadangan pindaan kepada Akta 360 itu dijangka dibentang dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat selepas mengambil kira input sesi libat urus berkenaan.

Menurutnya, jumlah kes kebankrapan bagi tahun 2022 adalah sebanyak 5,695 kes.

“Buat masa ini, jumlah kes kebankrapan yang didaftarkan bagi 2018 sehingga 2022 adalah sebanyak 49,133 kes,” katanya.

Beliau berkata, jumlah kes kebankrapan yang dilepaskan oleh Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) melalui Sijil KPI bawah seksyen 33A Akta Insolvensi 1967 [Akta 360] bagi tempoh yang sama adalah sebanyak 87,427 kes.

Mennurutnya, statistik pada 2022 menunjukkan secara purata sebanyak 16 kes kebankrapan didaftar setiap hari manakala jumlah kes kebankrapan yang dilepaskan melalui Sijil Pelepasan KPI bagi tempoh yang sama secara purata adalah sebanyak 27 kes setiap hari.

“Ekonomi, kewangan, perundangan dan kemasyarakatan adalah elemen yang penting dalam pembuatan dasar Malaysia MADANI.

“Kerajaan mengambil maklum mengenai cabaran yang dihadapi oleh golongan yang bankrap dan stigma kebankrapan dalam masyarakat.

Justeru menurut beliau, Kerajaan Perpaduan akan meneruskan usaha untuk meningkatkan keberkesanan pentadbiran kebankrapan seiring dengan visi Malaysia MADANI untuk membangunkan tanah air yang lebih mampan dan makmur serta berteraskan keterangkuman dan kesaksamaan.

-EDISI9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan