32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Jangan politikkan, siasatan belum berakhir – Azalina

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

DATUK Seri Azalina Othman Said meminta semua pihak agar tidak mempolitikkan atau memutarbelitkan jawapan lisan yang diberikannya berhubung dana judi yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu berkata, jawapan yang diberikan di Dewan Rakyat bagi pihak SPRM tidak menyatakan bahawa siasatan berkenaan telah dihentikan atau digugurkan. 

Sebaliknya, beliau berkata, SPRM hanya menyatakan bahawa tiada fail siasatan dibuka memandangkan maklumat yang telah diperoleh setakat ini bersifat umum. 

“Dalam hal ini, SPRM sebagai badan yang bebas dan berkecuali tentu sekali akan dan berhak menjalankan siasatan berkaitan dan membuka fail siasatan sebagaimana perlu mengikut Aka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 [Akta 694] atau mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa berdasarkan kepada maklumat dan juga bukti yang diperolehi dari semasa ke semasa.

“Adalah penting untuk ditegaskan bahawa selain SPRM, terdapat juga agensi lain yang bertanggungjawab dan berkuasa termasuk Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menyiasat sebarang kesalahan jenayah yang dilakukan ole mana-mana entiti. 

“Undang-undang Malaysia tidak mempunyai sebarang had masa untuk memulakan sebarang tindakan atas kes-kes jenayah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Azalina menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam memberitahu, hasil siasatan SPRM mendapati tiada sebarang unsur penerimaan rasuah parti dalam kerajaan ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.

Susulan itu, beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) mengeluarkan kenyataan meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anuar memohon maaf secara terbuka berhubung kenyataan dana judi.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini turut memberitahu akan merujuk kepada peguam selepas mempertimbangkan untuk mengambil undang-undang sekiranya tiada permohonan dibuat.

Sementara itu, Azalina mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak membuat tuduhan-tuduhan tidak berasas terhadap Perdana Menteri.

“Saya menyeru semua pihak menghormati prinsip rule of law dan tidak membuat kesimpulan melulu atas jawapan yang diberi di Dewan Rakyat,” tegasnya. – Edisi 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan