28 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

Penyenggaraan jalan kecemasan bergantung Agensi Pusat

KKR melalui agensinya Jabatan Kerja Raya akan sentiasa memastikan kerja-kerja senggaraan dilaksanakan mengikut kaedah yang ditetapkan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SKOP penyenggaraan jalan secara berkala dan kecemasan adalah bergantung kepada peruntukan yang diluluskan oleh Agensi Pusat dalam bajet tahunan Kementerian Kerja Raya (KKR).

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanti Linggi berkata, kerja-kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan terdiri daripada tiga skop iaitu rutin, berkala dan kecemasan.

“Untuk kerja-kerja penampalan lubang jalan (pothole) ianya dilaksanakan di bawah skop penyenggaraan rutin. Antara inisiatif yang telah diambil bagi memastikan permukaan jalan raya sentiasa selamat dan selesa untuk pengguna jalan raya adalah mengadakan Kempen Zero Potholes.

“Menerusi kempen ini, semua pothole akan ditampal secara tampalan sementara dalam tempoh 24 jam dan pembaikan kekal akan dibuat dalam tempoh tiga hari.

“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, di bawah program penswastaan penyenggaraan Jalan Persekutuan, syarikat konsesi telah dilantik bagi melaksanakan skop penyenggaraan jalan yang ditetapkan mengikut kontrak manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diberi tanggungjawab untuk menyelaras dan memantau kerja-kerja penyenggaraan oleh syarikat konsesi berkenaan,”katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab Pertanyaan Lisan Dewan Rakyat dari Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat hari ini.

Iskandar meminta Menteri menyatakan apakah usaha Kementerian dalam mengatasi masalah jalan berlubang yang telah meragut nyawa ramai pihak

Advertisements

Mengulas lanjut, kata beliau, peruntukan bagi kerja-kerja penyenggaraan rutin berkenaan dibayar pada setiap bulan kepada syarikat-syarikat konsesi berkenaan setelah disahkan oleh JKR Daerah yang terlibat.

“Peruntukan bagi kerja-kerja rutin ini sememangnya telah diambil kira dan diasingkan sebagai peruntukan mandatori dalam bajet peruntukan Kementerian setiap tahun.

“Sementara agihan peruntukan kerja-kerja penyenggaraan berkala yang terlibat seperti menurap semula jalan dan membaik pulih struktur asas jalan yang kritikal di sepanjang Jalan Persekutuan diagih mengikut panjang jalan yang disenggara bagi setiap negeri,”katanya.

Jelas Alexander, KKR melalui agensinya JKR akan sentiasa memastikan kerja-kerja senggaraan dilaksanakan mengikut kaedah yang ditetapkan.

“Dalam hal ini, JKR akan meningkatkan kompetensi jurutera-jurutera yang terlibat dengan reka bentuk dan senggaraan serta menggunakan teknologi yang terkini bagi memastikan Jalan Persekutuan sentiasa selamat dan selesa untuk pengguna jalanraya.

Dalam pada itu, kata beliau, peruntukan penyenggaraan Jalan Persekutuan untuk setiap negeri diberikan secara tahunan berdasarkan kepada senarai keutamaan kerosakan jalan yang telah disediakan Jabatan Kerja Raya tertakluk
kepada peruntukan yang diluluskan Kementerian Kewangan.

“Oleh itu, kelulusan peruntukan tahunan ini adalah berbeza tanpa mengira negeri yang ditadbir oleh Kerajaan mahupun pembangkang,”katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Agong, Permaisuri zahir rasa sedih tragedi nahas helikopter TLDM

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan rasa sedih atas tragedi nahas dua...

Lagi Artikel Berkaitan