KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) perlu membuka ruang kepada pelajar dan kakitangan untuk menyatakan pandangan masing-masing secara terbuka kepada kerajaan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ruang memberi pandangan itu tidak termasuk dalam hal yang mencerca atau isu perkauman serta fahaman agama yang melampau.
“Selagi mana mahasiswa tidak melampaui batas dalam menyatakan pandangan mereka, selagi itu mereka bebas berbuat demikian khususnya dalam kampus masing-masing.
“Buka ruang supaya universiti lebih segar memberikan pandangan melainkan hal-hal mencerca ataupun, perkauman, fahaman agama yang melampau.
“Yang lain itu dibebaskan termasuk teguran atau kritikan terhadap PM (Perdana Menteri) atau kerajaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu beliau hadir ke Majlis Penyampaian Mock Cek berjumlah RM1.29 juta untuk Tabung Pelajar Antarabangsa Abu Sulayman (AISF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.
Dana tambahan ini bernilai USD300,000 dan sebelum ini AISF turut menerima sumbangan sebanyak USD250,000 pada tahun 2019.
Setakat ini AISF telah berjaya membantu 287 pelajar antarabangsa dari pelbagai negara yang kurang berkemampuan. – Edisi 9