32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Muhyiddin, Azmin dituntut tarik balik tuduhan ke atas Zahid

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BARISAN Nasional (BN) menuntut Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menarik balik tuduhan yang mengaitkan Presiden UMNO sebagai dalang pendakwaan rasuah ke atas bekas Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Perkara itu dinyatakan melalui surat tuntutan dihantar BN melalui peguamnya.

BN  menyifatkan kenyataan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Azmin selaku Ketua Penerangannya, sebagai satu tuduhan yang melampau.

Bahagian Komunikasi BN dalam satu kenyataan memaklumkan selain menarik kenyataan, dua pemimpin PN itu juga perlu memohon maaf secara terbuka dan membayar balik pampasan ganti rugi di atas kenyataan serta fitnah dilakukan.

“Fitnah liar ini tidak boleh dibiarkan berlarutan untuk dijadikan bahan menipu dan meloloskan diri daripada dakwaan terhadap kesalahan dan jenayah yang dilakukan.

“Di dalam surat tuntutan dihantar, kedua-dua penama terbabit mestilah menarik balik kenyataan mereka, memohon maaf secara terbuka dan membayar balik pampasan ganti rugi di atas kenyataan serta fitnah yang telah dilakukan,” katanya, hari ini.

Selain itu menurutnya, kenyataan Muhyiddin yang menuduh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai ‘dalang’ dan ‘perancang’ kepada pertuduhan Wan Saiful itu jelas satu fitnah melulu, besar dan disengajakan untuk menutup kerosakan yang kini berlaku dalam PN sendiri.

Menurutnya, ini termasuk tuduhan sama dibuat Mohamed Azmin yang menyatakan pendakwaan rasuah ahli PN dan BERSATU sebelum ini adalah tindakan yang sudah dirancang.

“Melalui siri tuduhan ini, jelas kelihatan kedua-dua individu utama dalam PN ini mencipta pelbagai alasan untuk menyembunyikan masalah korup dan rasuah yang ada di dalam PN.

“Tindakan menuding jari dilihat seperti langkah biasa mereka untuk menutup kelemahan dan menjadikan diri mereka sebagai mangsa pendakwaan politik, sedangkan rakyat kini melihat yang dituduh adalah daripada kepemimpinan parti mereka sendiri,” katanya.

Kenyataan sama memaklumkan, Ahmad Zahid tidak pernah sesekali menyalahgunakan jawatan dan kedudukan untuk mendakwa pemimpin PN dan fokus Timbalan Perdana Menteri itu adalah untuk menguruskan hal ehwal negara, khususnya meningkatkan kesejahteraan serta ekonomi hidup masyarakat desa.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan