25.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 4, 2024

KPM kenal pasti 830 sekolah daif berskala 6 dan 7

KPM memberikan keutamaan untuk melaksanakan projek penggantian kepada blok bangunan di sekolah yang berada pada skala sedemikian

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) mengenal pasti sebanyak 830 buah sekolah daif berskala 6 dan 7 yang memerlukan penggantian atau pembangunan semula.

Menurut kementerian itu, jumlah sehingga 31 Januari lalu itu adalah hasil penilaian yang dibuat melalui analisis skor gred impak untuk keutamaan pelaksanaan projek berkenaan di seluruh negara.

Katanya, projek yang akan diangkat untuk kelulusan pelaksanaan terdiri daripada senarai sekolah-sekolah yang mempunyai bangunan daif pada skala 6 dan 7.

“Berdasarkan kepada skor tersebut, KPM memberikan keutamaan untuk melaksanakan projek penggantian kepada blok bangunan di sekolah yang berada pada Skala 6 dan Skala 7,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, kata KPM, bilangan bangunan sekolah daif dinamik selaras dengan penyelesaian pelaksanaan pembangunan semula serta penerimaan untuk mengesyorkan tahap keselamatan bangunan oleh agensi teknikal.

Sehubungan itu, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang secara serius akan menangani isu sekolah daif seiring dengan agenda KPM.

KPM sebelum ini, kata kenyataan itu, meletakkan agenda berkaitan pembangunan sekolah daif telah di bawah salah satu daripada tujuh aspirasi kementerian.

Advertisements

Ujarnya, KPM sentiasa komited dalam menyediakan infrastruktur pendidikan yang selamat dan kondusif untuk kegunaan murid serta warga sekolah di seluruh negara.

Kelmarin, Perdana Menteri ketika majlis hi-tea bersama pemimpin kuil di Seri Perdana berkata, tumpuan kerajaan ketika ini ialah untuk segera menyelesaikan masalah sekolah daif di seluruh negara demi kebajikan anak-anak selain meningkatkan mutu pendidikan negara.

Beliau berkata, pendekatan Kerajaan Perpaduan pimpinannya adalah untuk memastikan semua sekolah di bawah tanggungjawab kerajaan akan diperbaiki bermula dengan Belanjawan 2023 yang akan dibentang pada 24 Februari ini.

Anwar berkata, beliau telah mengarahkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk menyenaraikan sekolah daif yang perlu diperbaiki.

“Tumpuan kita tentu perbaiki mutu (pendidikan) dan menyelesaikan (isu sekolah daif) supaya jangan ada rakyat, baik orang Penan dan Dayak di pedalaman Sarawak, India di Ijok, Melayu di Manek Urai, termasuk kategori miskin.

“Jadi, saya beritahu menteri mana sahaja sekolah daif harus disenaraikan tanpa kira jenis sekolah, tanpa kira jenis daerah, tanpa kira siapa pelajarnya. Tanggungjawab kita mulai tahun ini, akan pastikan tumpuan khusus untuk perbaiki semua sekolah daif dalam negara,” katanya seperti dilapor Bernama. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan