PEMILIK kenderaan persendirian tidak lagi perlu mempamerkan cukai jalan di cermin depan kenderaan bermotor mereka berkuat kuasa hari ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, warganegara boleh menggunakan mod paparan LKM Digital (e-LKM) dan LMM Digital (e-LMM) melalui portal awam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau aplikasi telefon pintar MyJPJ yang dilaksanakan di bawah satu projek perintis secara dalaman.
Menurut beliau, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kementerian untuk mendigitalkan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), khususnya bagi lesen kenderaan bermotor dan lesen memandu.
“Peruntukan bawah Seksyen 20 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang mengkehendaki setiap LKM dilekatkan dan dipamerkan pada kenderaan tidak lagi dikuatkuasakan bagi kategori pemilik bawah fasa pertama itu.
“Inisiatif ini akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan fasa pertama membabitkan kenderaan persendirian individu, termasuk motosikal (warganegara), mengambil kira kesediaan sistem dan penerimaan awam terhadap pelaksanaannya sebelum kiasan pelaksanaannya ke fasa seterusnya,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Menurut beliau, bagi pemandu yang belum bersedia, mereka masih boleh mengekalkan amalan memapar pelekat LKM di kenderaan masing-masing.
Sejak tahun lalu, pelekat cukai jalan menjadi perhatian orang ramai kerana didakwa tidak berkualiti kerana cepat rosak dan tidak tahan lama sekiranya ditanggalkan.
Ia juga menjadi kabur dan kurang jelas sebelum cukai jalan itu tamat manakala sisa gam melekat pada cermin kereta apabila ditanggalkan.
Isu beratur panjang di pejabat JPJ juga tidak berkesudahan sejak sekian lama meskipun era digitalisasi pejabat kerajaan sudah lama berlangsung dan menyebabkan kewujudan ‘ejen-ejen’ yang mengambil kesempatan terhadap kelemahan sistem terbabit.
-EDISI9

