26 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

KDN tetapkan klasifikasi filem 2023 berkuatkuasa hari ini

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) melalui Lembaga Penapis Filem (LPF) menetapkan lima pengelasan atau Klasifikasi Filem 2023 yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Penguatkuasaan itu selaras dengan keperluan semasa industri perfileman dan penyiaran dalam negara.

Pengelasan itu ialah klasifikasi ‘U’ bagi penonton semua peringkat umur, ‘P12’ bagi penonton semua peringkat umur dan bimbingan ibu bapa diperlukan bagi penonton berumur di bawah 12 tahun, ‘13’ bagi penonton berumur 13 tahun ke atas, ‘16’ bagi penonton berumur 16 tahun ke atas dan ‘18’ bagi penonton 18 tahun ke atas.

Memaklumkan perkara tersebut, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, KDN telah menambah baik klasifikasi filem sedia ada yang dilaksanakan oleh LPF sejak 2012 dengan memperkenalkan Klasifikasi Filem 2023, yang telah diwartakan melalui Peraturan-Peraturan Penapisan Filem (Pengelasan Filem) 2023 pada 9 Jan lepas.

“Prinsip yang diberi keutamaan untuk penentuan klasifikasi filem ialah memelihara kebebasan penonton dewasa untuk memilih filem yang ingin ditonton, melindungi kanak-kanak dan remaja di bawah usia 18 tahun daripada terdedah dengan kandungan filem yang tidak sesuai dengan peringkat umur mereka serta boleh merosakkan pemikiran dan tingkah laku mereka.

“Ia termasuk menggalakkan ibu bapa agar lebih bertanggungjawab dalam membimbing anak-anak memilih kandungan filem yang sesuai untuk ditonton,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Klasifikasi Filem 2023 itu dihasratkan akan memberi kesan positif dalam aspek penyeragaman dan peningkatan standard klasifikasi filem di Malaysia agar setanding dengan sistem klasifikasi atau penarafan filem yang dilaksanakan di luar negara.

“Selain itu, diharapkan agar klasifikasi filem 2023 dapat dijadikan panduan dan rujukan oleh penerbit dan pengarah filem tempatan serta dapat menyokong peluasan kreativiti dalam kalangan industri filem dan penyiaran, namun pada masa yang sama tidak melanggar Garis Panduan Penapisan Filem KDN 2010,” katanya.

Pengelasan filem diperkenalkan pada 1953 yang mengelaskan filem kepada dua kategori iaitu Untuk Orang Dewasa Sahaja dan Tontonan Umum dan mulai 1996, pengelasan berubah kepada ‘U’ dan ‘18’ yang terbahagi kepada empat kategori kecil iaitu ‘18SG’, ‘18SX’, ‘18PA’ dan ‘18PL’.

Seterusnya, pada April 2010 pengelasan filem berubah kepada ‘U’, ‘PG13’ dan 18. Pada Januari 2012 pula, pengelasan berubah kepada seperti sebelum ini iaitu ‘U’, ‘P13’ dan ‘18’.  – Edisi 9

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan